GAMBAH hiasan. FOTO AFP.
GAMBAH hiasan. FOTO AFP.
AFP

Geneva: Poland muncul sebagai negara pertama merekodkan jumlah tinggi kucing dijangkiti selesema burung (H5N1) yang merentasi kawasan luas, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Katanya, setakat ini 29 kucing diuji positif sejak pihak berkuasa kesihatan Poland memaklumkan kematian luar biasa haiwan itu di seluruh negara, bulan lalu.

WHO berkata, jumlah itu antara 46 kucing dan spesis caracal yang dikurung untuk diuji bagi mengesan virus H5N1.

"Sebanyak 14 daripada haiwan dijangkiti sudah dilupuskan, manakala 11 lagi mati.

"Kematian terakhir yang dilaporkan pada 30 Jun dengan punca kucing terdedah kepada virus itu masih belum diketahui. Siasatan epizootik masih berjalan," kata WHO.

Menurut WHO, risiko jangkitan H5N1 terhadap manusia masih rendah dan setakat 12 Julai, belum ada manusia yang dijangkiti virus daripada kucing bergejala.

Risiko bagi pemilik kucing, doktor haiwan dan lain-lain pihak yang terdedah lebih kerap dengan kucing dijangkiti H5N1 tanpa menggunakan peralatan pelindung diri pula di tahap rendah hingga sederhana.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memaklumkan jangkitan sporadik H5N1 terhadap kucing pernah dilaporkan sebelum ini.

"Tetapi ini laporan pertama menunjukkan bilangan kucing dijangkiti agak tinggi, membabitkan kawasan yang luas dalam sesebuah negara," katanya.

Sejak penghujung 2021, Eropah mengalami wabak selesema burung paling buruk, dan situasi sama turut melanda Amerika Utara dan Selatan.

Keadaan itu membawa kepada langkah pemusnahan puluhan juta ayam di seluruh dunia, kebanyakannya dijangkiti dengan strain virus H5N1 yang pertama kali muncul pada 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 12:59 PM