GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuantan: Tiada kes penyakit selesema burung (H5N1) yang dilaporkan berlaku ke atas haiwan ternakan mahupun manusia di Pahang setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman bagaimanapun menegaskan pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa memantau perkembangan semasa virus itu.

"Di Pahang, kita belum menerima sebarang laporan mengenai penyakit H5N1 yang terkena pada haiwan ternakan atau manusia dan sehingga kini, penyakit tersebut belum berjangkit kepada manusia.

"Bagaimanapun kita tidak mengambil mudah tentang penyakit ini dan melakukan pemantauan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan ia boleh berlaku di sini," katanya.

Norol Azali berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2017 di Kolej Poly-tech Mara (KPTM) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, 15 ekor ayam dilaporkan mati di Kampung Pulau Tebu Tunjong, Kota Bharu di Kelantan akibat virus itu, menyebabkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan segera melakukan aktiviti pencegahan dan kawalan bagi mengelakkan jangkitan kepada manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 4:13 PM