KOKAIN dalam bungkusan yang diikat pada kaki Luperon.
KOKAIN dalam bungkusan yang diikat pada kaki Luperon.

New York: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang cuba menyeludup dadah jenis kokain seberat 4.5 kilogram di dalam seluarnya ditangkap sebaik tiba di New York dari bercuti di luar negara, minggu lalu.

Gambar yang diedarkan pihak berkuasa narkotik bandar raya berkenaan menunjukkan dadah yang dinilaikan sebanyak RM730,200 diikat pada kaki lelaki itu, Juan Carlos Galan Luperon.

Luperon ditahan di Lapangan Terbang John F Kennedy selepas tiba dari lawatannya ke Republik Dominica.

Menurut pihak berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan, anggotanya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan Luperon apabila dia kelihatan cemas dan kakinya kelihatan menggelembung.

Dia dibawa ke bilik pemeriksaan khas, tempat kokain itu ditemui terikat dalam bungkusan pada kakinya yang kelihatan seperti disimen.

Dia akan didakwa atas tuduhan cuba menyeludup barangan terlarang esok.

Februari lalu, seorang lelaki yang menaiki pesawat dari Singapura ke Hyderabad, India, cuba menyeludup dua kilogram emas.

Kira-kira 0.8 kilogram barangan itu ditemui di dalam begnya, tersembunyi dalam lampu LED apabila dia tiba di India.

Selepas pegawai kastam memeriksanya dengan menggunakan imbasan x-ray, baki 1.2 kilogram lagi ditemui tersembunyi di dalam duburnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 6:03 AM