PEMAIN negara (jersi biru) meraikan kejayaan membenam Sri Lanka.
PEMAIN negara (jersi biru) meraikan kejayaan membenam Sri Lanka.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara hanya tinggal selangkah untuk menempah tiket automatik ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia selepas mara ke separuh akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia esok.

Anak buah Stephen Van Huizen semalam menewaskan Sri Lanka 5-2 pada aksi suku akhir di Stadium Hoki Maulana Bahasni, Dhaka, Bangladesh.

Di sebalik aksi bertahan serta corak permainan kasar lawan, Malaysian Tigers tetap mampu memenuhi sasaran untuk mencatatkan kemenangan.

Bagi Stephen, beliau berasa lega kerana barisan pemainnya tidak berdepan kecederaan serius pada perlawanan yang disifatkannya lebih kepada aksi fizikal.

“Kami tidak beraksi dengan baik tapi sudah mencukupi untuk mencatat kemenangan selesa.

“Barisan pemain berjaya mencipta peluang. Dua gol lawan menerusi pukulan sudut penalti adalah sesuatu yang tidak diduga,” katanya.

Jelas Stephen, skuad negara mempunyai tempoh rehat sehari hari ini untuk kembali memulihkan tahap kecergasan mereka.

“Kami akan melihat ulang tayang video dan melakukan persediaan rapi untuk aksi bertemu Mesir,” katanya.

Berlangsung di Stadium Hoki Maulana Bahasni, Dhaka, Bangladesh, skuad negara berada di depan pada minit ke-9 menerusi gol padang Ramadan Rosli.

Bagaimanapun Sri Lanka berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Karunamunige Nalantha lima minit kemudian.

Skuad negara bangkit meledak tiga gol menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil, Ramadan dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi masing-masing pada minit ke-18, 22 dan 23.

Doranegala Ishanka merapatkan jurang untuk gol kedua Sri Lanka hasil pukulan sudut penalti minit ke-27.

Penyerang negara Rashid Baharom melengkapkan kemenangan Malaysia menerusi jaringan padang minit ke-29.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 5:02 AM