PEMAIN negara mendengar arahan Arul sebelum menentang Ireland. FOTO MHC
PEMAIN negara mendengar arahan Arul sebelum menentang Ireland. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Arul Selvaraj mengakui kecewa dengan kekalahan 2-3 barisan pemainnya kepada Ireland pada perlawanan ujian yang berlangsung di Lisnagarvey Hockey Club, awal pagi tadi.

Jelas bekas penolong jurulatih skuad Ireland itu, barisan pemainnya perlu melakukan kerja lebih banyak ketika berada di dalam kawasan sendiri selain bertahan dengan lebih baik dan menggunakan kelebihan setiap pukulan sudut penalti diperolehi dengan sebaiknya.

"Saya agak kecewa sedikit dengan keputusan akhir 2-3 kerana kami mengawal permainan dengan baik dan dihadiahkan lima pukulan sudut penalti berbanding Ireland yang hanya mendapat satu pukulan sudut penalti.

"Dari segi peluang untuk menjaringkan gol juga kami mempunyai lebih banyak peluang berbanding Ireland dan kekurangan hari ini adalah dari segi bertahan selain kekuatan untuk mengendalikan bola dalam kawasan kami sendiri.

"Jadi lebih banyak kerja perlu dilakukan dalam kawasan pertahanan. Kami juga perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan pukulan sudut penalti kerana daripada lima, kami hanya menjaringkan satu sementara Ireland yang mendapat satu pukulan sudut penalti, menjaringkan gol daripada kelebihan itu.

"Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada pemain yang bangkit untuk menyamakan kedudukan 2-2 dan cara mereka bangkit untuk mendapatkan dua gol itu harus diberikan pujian," katanya selepas tamat aksi kelima Siri Jelajah United Kingdom itu.

Dua gol yang dihasilkan oleh Malaysian Tigers bermula pada minit akhir suku ketiga menerusi gol padang penyerang muda negara, Azrai Aizad Abu Kamal dan pada suku keempat, pakar pukulan sudut penalti negara, Razie Abd Rahim menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalti minit ke-52.

Sementara itu, Ireland membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi Sam Hyland seawal minit ke-2 menerusi gol padang sebelum Conor Empey menambah satu lagi gol padang minit ke-8.

Tiga minit sebelum aksi sebenar berakhir, Empey sekali lagi mencatat nama selaku penjaring, kali ini menerusi pukulan sudut penalti sekali gus gol kemenangan untuk Ireland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 11:08 AM