KONSERT Afgan ‘Sides’ Live in Malaysia 2016 papar muzik lebih matang.
KONSERT Afgan ‘Sides’ Live in Malaysia 2016 papar muzik lebih matang.
Nor Akmar Samudin


Bintang terkenal Indonesia Afgansyah Reza atau lebih dikenali sebagai Afgan akan kembali beraksi di negara ini menerusi konsert Afgan ‘Sides’

Live in Malaysia 2016 yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, pada 3 September ini jam 8 malam.

Konsert anjuran Dazzling Lifestyle itu dianjurkan bagi menyokong kemunculan album terbaru berjudul Sides selepas Live To Love, Love To Live tiga tahun lalu.

Apa yang pasti Sides memaparkan sisi muzik lebih matang berbanding karya terdahulunya.

Menurut Afgan, meskipun jiwanya cenderung dengan genre R&B, untuk bingkisan kali ini dia menggabungkan elemen blues, elektronik dan orkestra bagi menghasilkan lebih banyak lagu cinta selain menyerlahkan sisi berbeza dirinya.

Terkenal dengan lantunan vokal yang hebat menerusi lagui Katakan Tidak, Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa dan Knock Me Out, kehadiran Afgan di kaca televisyen juga dapat dirasai apabila menjadi panel juri program realiti X Factor Indonesia menggantikan penyanyi Anggun.

Manakala dalam bidang lakonan pula, dia tampil sebagai bintang utama Cinta 2 Hati dan Refrain. Afgan turut bergelar pengarah filem Gila Jiwa. Empat lagi sutradara lain ialah Julia Perez, Ria Irawan, Aming dan Ade Paloh.

Afgan mempunyai 1.5 juta pengikut di Instagram dan semua peminat setianya digelar Afganisme.

Jika ingin menonton konsert Afgan, tiket sudah mula dijual sejak 11 Julai lalu dengan harga RM188 (Gangsa), RM288 (Perak), RM388 (Emas), RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM788 (Diamond VIP untuk pakej sesi bertemu peminat).

Seramai 500 pembeli awal layak menikmati diskaun 10 peratus bermula 11 hingga 17 Julai untuk semua kategori tiket kecuali Diamond VIP, tertakluk kepada terma dan syarat.

Tiket boleh dibeli menerusi www.ticketcharge.com.my. Untuk maklumat lanjut dan berita terkini, sila layari Facebook dan Instagram Dazzling Lifestyle.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 1:08 PM