AFGAN membuat persembahan Konsert Afgan Sides Malaysia Tour 2017, di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
AFGAN membuat persembahan Konsert Afgan Sides Malaysia Tour 2017, di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENYANYI terkenal dari Indonesia, Afgan menghiburkan lebih seribu peminatnya dalam Konsert Afgan Sides Malaysia Tour 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, malam tadi.

Afgan Syahreza itu tampil di atas pentas dengan begitu gah memukau peminatnya, bermula 8.30 malam, dengan mendendangkan tiga lagu popularnya termasuk Katakan Tidak.

Walaupun ini adalah konsert pertama Afgan di Johor Bahru, persembahan bertenaga yang ditampilkan jejaka berusia 28 tahun ini nyata tidak mengecewakan peminatnya.

Johor Bahru adalah lokasi ketiga Afgan selepas Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dan Stadium Tertutup Miri, Sarawak, tahun lalu, bagi mempromosikan album keempatnya berjudul 'Sides'.

Lebih 20 lagu didendangkan Afgan bagi menghiburkan peminatnya, yang majoritinya adalah lagu dari album terbarunya itu seperti Berani Sadari, Kunci Hati, Percayalah, Ku Dengannya Kau Dengan dia serta Setia Menunggu.

Afgan yang petah apabila berbicara dan mesra dengan semua peminatnya itu turut menyampaikan lagu berbahasa Inggeris yang dimuatkan dalam album 'Sides' termasuk Knock Me Out dan Thinkin' About U.

Persembahannya yang mengambil masa lebih dua jam itu turut menampilkan penyanyi SonaOne yang berduet dengannya menerusi lagu X yang juga antara lagu dalam album 'Sides'.

Penampilan SonaOne dengan menyampaikan dua lagunya Hakeleh dan Firefly serta sebuah lagu baru, turut mendapat sambutan hangat penonton.

Tidak mahu mengecewakan peminatnya, Afgan turut menyampaikan lagu 'berhantunya' Terima Kasih Cinta sebelum menamatkan persembahan dengan lagu Bukan Cinta Biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 11:32 PM