Syafil Syazwan Jefri


Bagi peminat penyanyi bernama Afgan ini, kehadiran album keempatnya sentiasa dinanti-nantikan peminat.

Lebih menarik, album yang diberi judul Sides ini mempunyai kelainan ketara berbanding album sebelumnya.

Paling ketara ialah dendangan tiga lagu penuh berbahasa Inggeris yang dimuatkan dalam album ini iaitu Count On Me, Thinkin’ About U dan Brand New Day.

Bermula trek pertama, pendengar sudah dibawa meneroka sisi lain Afgan sebagai penyanyi pop menerusi dendangan lagu Rollercoaster.

Lagu ciptaannya bersama dua komposer lain iaitu SonaOne dan Mhala Numata ini ternyata penuh warna dan rentak segar dengan nada pop moden.

Satu lagi trek yang mencuri perhatian adalah lagu berjudul X hasil kolaborasi bersama SonaOne. Ternyata ada kelainan yang ditampilkan apabila diselitkan elemen hip hop dan rap oleh rapper Malaysia itu.

Bukan hanya SonaOne, Sides juga menampilkan dua lagi bintang lain dalam seni suara Indonesia iaitu Yura Yunita dan Rayi Putra menerusi lagu Berani Sadari serta Raisa menerusi lagu Percayalah.

Walaupun album ini mengetengahkan melodi R&B, blues, elektro pop dan orkestra, Afgan masih tidak lupa untuk menyajikan peminat balada dengan lagu meruntun jiwa.

Dengar sahaja trek Percayalah pasti membuatkan pendengar tersenyum kerana lirik manisnya yang disadur pula dengan vokal harmoni mantap Afgan bersama Raisa.

Lagu Kunci Hati ciptaan Syahreza dan Inu Numata juga mengembalikan ingatan pendengar kepada lagu Afgan daripada album terdahulu.

Beberapa trek lain yang meruntun jiwa pendengar adalah Ku Dengannya Kau Dengan Dia ciptaan Rian D’Masiv, Setia Menunggu ciptaan Badai Kerispatih dan Jalan Terus ciptaan Alam Urbach.

Ketiga-tiga trek ini nyata mempunyai kisah yang dekat dengan pendengar. Setiap penceritaan penyanyi berusia 27 tahun ini dalam bentuk lagu nyata sampai tepat ke hati pendengar.

Berbalik kepada lagu Inggeris yang dimuatkan dalam album ini, sedikit sebanyak ‘membayar’ penantian peminatnya yang menunggu sejak awal. Sebelum ini, Afgan pernah muncul dengan lagu Inggeris My Confession menerusi album Confession No 1.

Bagi Afgan yang baru-baru ini hadir ke negara ini untuk menjayakan konsert Afgan ‘Sides’ Live in Malaysia 2016 mengakui album ini adalah luahan rasanya.

“Sejujurnya, album ini terlalu peribadi buat saya. Lagunya juga menyampaikan apa yang jiwa saya ingin sampaikan,” katanya.

INFO

- Album : Sides

- Penyanyi : Afgan

- Terbitan: Trinity Optima Production

- Edaran: Suria Records

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 7:51 AM