Anggota bomba  memeriksa Madrasah Al-Badariah di Kampung Jal Besar, Tumpat yang terbakar malam tadi.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota bomba memeriksa Madrasah Al-Badariah di Kampung Jal Besar, Tumpat yang terbakar malam tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Sebanyak 44 pondok Madrasah Al-Badriah di Kampung Jal Besar di sini, musnah terbakar kira-kira 8.15 malam tadi.

Ketika kejadian terdapat 70 daripada 120 pelajar sedang mengikuti kelas pengajian, namun semua mereka terselamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Negeri, Penguasa Bomba Kanan II, Husin Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 8.25 malam.

"Tiga jentera termasuk satu lori tangki air dengan kekuatan 25 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat dan Pengkalan Kubor ke tempat kejadian.

"Ketika tiba, api marak membakar pondok namun berjaya dikawal 20 minit kemudian. Kita ambil masa lebih sejam untuk memadam sepenuhnya kebakaran.

"Buat masa ini punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan, tetapi tidak menolak unsur litar pintas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, tadi.

Sementara itu mudir pondok, Saiful Baharin Che Ali berkata, ketika kejadian berlaku, beliau tidak berada di pondok itu kerana sedang mengajar di masjid berdekatan.

Katanya, seramai 120 pelajar berada di pondok dan daripada jumlah itu, 70 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama.

"Alhamdulillah, tidak ada kemalangan jiwa berlaku dan saya bersyukur semua pelajar di pondok ini sempat menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya madrasah itu mempunyai 100 pondok tidak termasuk yang masih dalam pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 11:17 PM