RENIE (lima kanan) hadir sempena majlis Semarak Kasih Aidiladha peringkat GiatMARA di Madrasah Al-Badriah Pondok Jal Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RENIE (lima kanan) hadir sempena majlis Semarak Kasih Aidiladha peringkat GiatMARA di Madrasah Al-Badriah Pondok Jal Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

Tumpat: Lima institusi tahfiz termasuk sebuah pertubuhan anak yatim di Kelantan dipilih mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz menerusi GiatMARA.

Pengarah GiatMARA Kelantan Renie Kasriana Kaman berkata, pihaknya menerima peruntukan sejumlah RM15,000 untuk menganjurkan program yang menyasarkan 60 pelajar institusi itu dalam usaha memberi kemahiran sampingan.

Menurutnya, program jangka pendek yang memakan masa selama tiga hari itu dimulakan dengan Pondok Ar-Rahmaniah Darul Quran, Kampung Neting di sini, membabitkan kemahiran membuat rehal.

"Empat lagi maahad tahfiz termasuk sebuah pertubuhan anak yatim akan diajar mengenai asas pendawaian elektrik, servis penyaman udara dan 'facial' spa.

"Selain menumpukan kepada ilmu akhirat, kita mahu anak tahfiz turut mempunyai kemahiran lain yang mungkin boleh dimanfaatkan selepas keluar dari institusi itu.

"Dalam masa sama, mereka juga mungkin berminat untuk mempelajari lebih mendalam mengenai kursus yang diajar dan boleh mendaftar memasuki GiatMARA suatu hari nanti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui di Madrasah Al-Badriah Pondok Jal Besar di sini, sempena majlis Semarak Kasih Aidiladha peringkat GiatMARA Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Zulkifli Abdullah.

Renie berkata, sebelum ini program yang seakan sama sudah dijalankan iaitu Life Long Learning (3L) namun kerajaan ingin memperkasakan kalangan huffaz maka TVET Tahfiz dipergiatkan.

"Untuk program 3L pula, seramai 30 pelajar dari Madrasah Al-Badriah Pondok Jal Besar di sini, mengikuti kursus asas simen ferro selama dua hari iaitu membuat kerusi dan meja batu.

"Hasil yang dibuat diletakkan di pondok itu dan kita berharap kemahiran yang diberi sedikit-sebanyak dapat mempromosikan GiatMARA sekali gus membuka mata lebih ramai untuk menyertai kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:03 PM