Kenyataan yang tular di laman sosial adalah palsu. FOTO ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Kenyataan yang tular di laman sosial adalah palsu. FOTO ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyangkal mengeluarkan kenyataan berhubung larangan serta-merta kanak-kanak di bawah 18 tahun berkeliaran tanpa pengawasan seperti ditularkan sejak semalam.

Sultan Ibrahim menafikan mengeluarkan titah berkenaan, malah menolak kenyataan palsu yang sedang disebarkan di media sosial menerusi laman Facebook (FB) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim menyangkal dan menolak kenyataan palsu yang sedang disebarkan di media sosial.

"Harap maklum bahawa pihak istana tidak mengeluarkan arahan itu," titah baginda menerusi laman sosial FB rasminya itu sebentar tadi.

Sementara itu, dalam tular disebarkan itu menyatakan kononnya ia arahan terbaru berkuat kuasa di negeri ini.

"Berkuatkuasa serta merta, selepas jam 10 malam, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan berkeliaran tanpa pengawasan orang dewasa.

"Sekiranya didapati berlaku, kanak-kanak terbabit dan ibu bapanya akan menjalani sesi kaunseling selama dua bulan tanpa kompromi," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dipetik turut mendakwa ibu bapa mungkin dipenjarakan kerana gagal mengawal tingkah laku anak masing-masing.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada ibu bapa yang ingkar dengan arahan ini," dakwanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 2:46 PM