PENYELAM Komando KOPASKA memeriksa peralatan menyelam mereka. FOTO Reuters
PENYELAM Komando KOPASKA memeriksa peralatan menyelam mereka. FOTO Reuters

Pangkalan Bun : Selain 47 penyelam Komando Pasukan Katak (KOPASKA) Tentera Nasional indonesia (TNI) Angkatan Laut (AL), pasukan penyelam dari Perancis, Korea dan Amerika Syarikat akan membantu dalam operasi pencarian mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Kolonel Maritim, Uca Agung berkata, ketika ini penyelam menunggu cuaca baik untuk melakukan pencarian.

"Sehingga kini, ombak masih pada ketinggian tiga meter manakala angin kencang pada 25 hingga 40 knot, masih menunggu cuaca kondusif," katanya kepada tvOne.

Sementara itu, pesawat Hercules Singapura tiba di Lanud Iskandar, di sini, bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta peralatan sonar untuk membantu mengesan bangkai pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar laut.

Pasukan itu diketuai Mejar Tank Tek Hong dengan kekuatan tujuh anggota.

Koordinator Misi SAR Pangkalan Bun Sunarbowo Sandy berkata, pesawat Singapura itu membawa peralatan sonar, kenderaan dalam air autonomi (AUV).

"AUV akan digunakan untuk mengesan isyarat lemah Pemancar Penentu Lokasi Kecemasan (ELT) di dasar laut. Diharap dengan alat ini, kita dapat mengesan isyarat beacon di ELT pada bangkai pesawat," katanya kepada Detiknews.

Alat itu mampu mengesan isyarat pada kedalaman 100 meter dan ia diharap dapat membantu memastikan lokasi bangkai pesawat berkenaan.

"Ia juga boleh merakam gambar dan mengesan logam ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 1:53 PM