Pangkalan Bun: Sebuah pesawat Hercules Tentera Udara Singapura mendarat di Lapangan Terbang Iskandar, di sini dengan membawa anggota pencari dan peralatan untuk membantu menentukan lokasi bangkai pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar laut, semalam.

Pesawat Hercules berkenaan tiba jam 11.10 pagi diketuai Mejar Tank Tek Hong dan tujuh anggota.

Koordinator misi mencari dan menyelamat Pangkalan Bun, Sunarbowo Sandy berkata, pesawat Singapura itu membawa alat pengesan sonar bawah laut iaitu kenderaan dalam air autonomi (AUV).

“AUV akan digunakan untuk mengesan signal lemah Pemancar Penentu Lokasi Kecemasan (ELT) di dasar laut. Kita harap dengan alat ini, kita dapat mengesan signal beacon di ELT pada bangkai pesawat,” katanya.

Alat itu mampu mengesan signal pada kedalaman 100 meter dan diharap dapat membantu memastikan lokasi pesawat berkenaan.

“Ia juga boleh merakam gambar dan mengesan logam ,” katanya kepada Detik.news.

Sementara itu, pasukan penyelam dari Perancis, Korea dan Amerika Syarikat turut membantu dalam operasi pencarian mangsa.

Kolonel Maritim, Uca Agung berkata, hingga ke saat ini operasi pencarian tidak pernah dihentikan namun Badan Sar Nasional (BASARNAS) dan Tentera Negara Indonesia (TNI) terpaksa menunggu cuaca yang kondusif untuk melakukan pencarian.

“Sehingga sekarang, ombak masih pada ketinggian tiga meter manakala angin kencang pada 25 hingga 40 knot, masih menunggu cuaca kondusif,” katanya kepada tvOne.

Uca berkata, jika cuaca bertukar baik, pencarian mangsa di laut akan dibantu beberapa penyelam asing termasuk dari Perancis, Korea dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 9:52 AM