AFP

Adelaide, Australia: Sarah Jane Smith (gambar) mendahului saingan Terbuka Wanita Australia ketika pemain nombor satu dunia Lydia Ko bergelut untuk melepasi cut, semalam.

Sarah, 32, merakam enam di bawah 67 untuk memimpin saingan sambil kelompok pemain dari Thailand Pornanong Phatlum, Lizette Salas dan Marissa Steen (Amerika Syarikat) serta pemain Sweden Caroline Hedwall ketinggalan satu pukulan selepas 36 lubang di kejohanan yang mendapat pengiktirafan USLPGA-APLG itu.

Tetapi semalam adalah hari yang sukar buat Lydia yang kelihatan bergelut menyesuaikan diri dengan peralatan, jurulatih serta kedi barunya dan dia hanya berjaya melepasi cut dengan satu pukulan dan ketinggalan sembilan pukulan di belakang pendahulu.

Bintang New Zealand itu yang mengetuai ranking dunia buat minggu ke-69 berturut-turut, melakar permainan tidak menentu dengan empat birdie dan enam bogey.

Sarah memulakan aksi dengan birdie mudah di lubang 17 dan ketika dia mahu menyambung permainan di lubang 18, khabar mengenai pendahulu semalaman Katherine Kirk yang tercicir satu pukulan sebelum menamatkan saingan pagi membuatkan dia tambah bersemangat.

Di lubang terakhir, Sarah hampir mencipta birdie tetapi ia tidak begitu membimbangkan kerana ketika itu dia sudah pun mengumpul enam birdie.

Katherina yang sekadar membenam bogey berganda di lubang 17, mendahului pada sebahagian besar aksi tetapi mula ketinggalan di sembilan lubang kedua. Bagaimanapun, dia masih boleh dianggap sebagai pencabar.

Pemain nombor dua dunia dari Thailand Ariya Jutanugarn yang menjulang lima Jelajah LPGA tahun lalu, turut berdepan masalah apabila sekadar menamatkan hari kedua dengan dua di bawah par manakala pemain Korea Selatan Jang Ha-Na mengumpul tiga di bawah par.

Pemain Kanada Brook Henderson yang menduduki tangga kelapan dunia pula bergelut untuk membuat putt di lubang 18 bagi memastikan dia melepasi cut.

Sarah mengaku, dia sudah mula memikirkan soal muncul juara walaupun kejohanan masih berbaki dua hari lagi.

“Saya menipu jika saya katakan bahawa saya tidak memikirkan soal itu tetapi ia bukanlah fokus utama saya sepanjang baki dua hari ini,” katanya.

“Ia pasti mimpi yang menjadi kenyataan jika saya muncul juara dan saya rasa setiap pemain Australia pasti mahu menjadi juara di sini. Berada di kedudukan sekarang, sudah tentu amat menyeronokkan.”

Sementara itu, bintang tuan rumah yang juga juara lima kali Karrie Webb, 42, gagal melepasi cut buat kali pertama dalam sejarah Terbuka Australia apabila menamatkan saingan hari kedua dengan catatan tiga di atas par.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 10:43 AM