Pegawai kewangan swasta ketika dibawa ke mahamah hari ini. - Foto IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Pegawai kewangan swasta ketika dibawa ke mahamah hari ini. - Foto IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Bekas pegawai kewangan sebuah syarikat swasta di Senai yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu kira-kira RM720,000, direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Mohammad Salehudin Abd Sani bagi membolehkan suspek lelaki berusia 33 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek hadir ke mahkamah diiringi pegawai SPRM dengan memakai baju lokap SPRM.

Semalam, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias dalam kenyataannya berkata, suspek ditahan kira-kira 1 tengah hari kelmarin, ketika hadir ke pejabat SPRM negeri untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

Katanya, suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu berhubung import dan eksport bahan kimia sejak 2014 hingga 2016.

Tuntutan dibuat sedangkan kerja-kerja berkenaan sudah dilakukan serta pembayarannya sudah dibuat kepada syarikat yang menjalankan kerja terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 1:08 PM