GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru : Seorang pemilik syarikat percetakan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini petang tadi, bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, dua tahun lalu.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira pada jam 5 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada tahun 2021, suspek mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah sekolah menengah di sebuah daerah di negeri ini.

Tuntutan palsu itu, berkaitan pembekalan cetakan modul pembelajaran untuk kegunaan pelajar sedangkan pembekalan itu tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 10:27 PM