FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang bekas pengarah sebuah kolej swasta di sini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, hari ini, bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan membuat tuntutan palsu.

Menurut sumber, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu pada 10 pagi hari ini, selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bernilai keseluruhan lebih RM300,000 kepada sebuah agensi kerajaan sekitar 2018 membabitkan tiga tuntutan berasingan.

Tuntutan itu membabitkan tiga program dilaksanakan di kolejnya dengan membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menghabiskan kursus berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Tiada permohonan reman dan suspek dibebaskan pada hari sama selepas selesai memberi keterangan.

"Wang jaminan ditetapkan RM5,000 dengan seorang penjamin dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada satu tarikh akan ditetapkan kemudian," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 5:13 PM