Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menegaskan sukar untuknya memperbaiki hubungan dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen (gambar).

Meskipun krisis membabitkan kedua-duanya dikatakan sudah selesai oleh Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid, hakikatnya perkembangan terbaru itu menyaksikan belum ada jalan penyelesaian membabitkan kedua-dua legenda itu.

“Mungkin susah sikit sebab belum pernah ada seorang jurulatih yang melakukan saya seperti ini.

“Selama 18 tahun saya di BAM, saya tak pernah minta apa-apa. Apabila BAM memberikan mana-mana jurulatih pun, saya tak pernah berkata tidak.

“Kali ini, saya tak tahu apa yang beliau (Frost) mahu. Mungkin bila di depan memang nampak baik, tapi di belakang saya, tidak.

“Biarlah perkara ini diselesaikan pemangku presiden. Saya akan berjumpa dia semula nanti.

“Apapun sekarang fokus utama saya adalah untuk cuba pulih daripada kecederaan ligamen lutut kiri,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran kedai syarikat telekomunikasi, XOX Mobile semalam.

Ditanya mengenai masa depannya selepas ini sama ada mahu kekal di BAM atau sebaliknya, Chong Wei berkata, dia akan menunggu pandangan Mohamed Al Amin.

Chong Wei juga menyatakan masih belum pasti dapat beraksi di Seluruh England dari 7 hingga 12 Mac depan.

“Ada masa kira-kira dua minggu setengah lagi untuk kejohanan itu. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk pulih daripada kecederaan ini,” katanya.

Hubungan tegang membabitkan kedua-dua pihak itu berpunca apabila aduan Chong Wei mengenai permukaan gelanggang yang licin di Akademi Badminton Malaysia (BAM) tidak diendahkan oleh Frost.

Akibat daripada itu, Chong Wei mengalami kecederaan ligamen lutut kiri dan belum pasti untuk beraksi di Seluruh England.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 7:17 AM