CHONG Wei.
CHONG Wei.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei sedia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen kurang senang dengannya.

Menurutnya, jika Frost benar-benar tidak berpuas hati dengan dirinya, legenda Denmark itu diminta bersemuka tanpa perlu berselindung.

Sebelum ini Chong Wei terpaksa melupakan Seluruh England selepas mengalami kecederaan ligamen lutut kiri berikutan aduannya mengenai keadaan permukaan gelanggang latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) tidak diendahkan Frost.

Menurutnya, insiden terjatuh ketika berlatih Sabtu lalu tidak akan berlaku jika Frost mengambil berat aduan permukaan gelanggang latihan yang licin.

“Kecederaan ini sepatutnya boleh dielakkan jika Frost mengambil berat aduan Hendrawan (jurulatih perseorangan lelaki negara). Sekarang sudah terlambat. Saya akan berjumpa dengan Pemangku Presiden (Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid) untuk membincangkan perkara ini.

”Jika beliau (Frost) tidak gembira dengan saya, berterus terang dan saya akan meninggalkan BAM. Saya boleh membuktikan kemampuan saya di luar BAM,” katanya.

Perasaan marah Chong Wei terhadap Frost semakin semakin membuak-buak apabila pemain nombor satu dunia itu secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk ‘bergaduh’ dengan bekas pemain perseorangan Denmark itu.

“Saya sangat marah dan kecewa. Sebelum ini saya hanya mendiamkan diri kerana memikirkan kedua-dua jurulatih saya (Hendrawan dan Tey Seu Bock) namun tahap kesabaran saya ada hadnya.

“Saya tidak akan berdiam diri kali ini kerana sudah 18 tahun berada dalam BAM. Saya sudah melakukan segala-galanya untuk negara dan sekarang apa yang saya dapat? Jika beliau mahu bergaduh, saya bersedia,” kata Chong Wei dengan nada marah.

Nada pemain berusia 35 tahun itu membuktikan ia dilihat bukan lagi soal isu kecederaan tetapi lebih bersifat peribadi seterusnya menyambung perbalahan yang berlaku antara mereka pada 2015.

Sebelum ini, Hendrawan hanya memberitahu media Chong Wei mengalami kecederaan disebabkan tersalah pergerakan ketika mahu mengambil pukulan R Satheishtharan Sabtu lalu, namun cerita sebenar di sebalik kejadian itu adalah permukaan gelanggang ABM yang licin.

“Beliau bertemu Hendrawan semalam (kelmarin) dan bertanyakan adakah ini penamat buat karier saya (selepas cedera lagi). Tergamak beliau bertanyakan soalan seperti itu. “Saya sedar bahagian perseorangan lelaki dalam keadaan kritikal tapi saya masih pemain nombor satu dunia. Beliau seperti tidak tahu berapa banyak usaha saya lakukan untuk keluar dari penggantungan serta merampas semula kedudukan ini.

“Saya tidak tahu apa yang beliau mahu, terus terang saya tidak minat bermain politik tapi mendengar komen seperti itu memang sangat mengecewakan,” katanya.

Difahamkan perkara ini juga sudah dalam pengetahuan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sebelum mengalami kecederaan Chong Wei dijadualkan beraksi di Terbuka Malaysia, India, Indonesia, Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 10:08 AM