KIM HOCK mahu Frost cari jalan selesai perselisihan faham dengan Chong Wei.
KIM HOCK mahu Frost cari jalan selesai perselisihan faham dengan Chong Wei.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen perlu bertanggungjawab dan melakukan tindakan pertama untuk menyelesaikan kemelut membabitkan dirinya dengan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Bekas pemain beregu utama negara Yap Kim Hock berkata, beliau sememangnya mengikuti kemelut membabitkan kedua-dua individu penting dalam badan induk itu.

Harapannya adalah agar kedua-dua pihak menyelesaikan kemelut itu dengan baik.

“Sudah tentu Frost selaku ketua perlu bertanggungjawab. Sebab saya rasa isu ini sudah berlanjutan hampir seminggu.

“Jadi, Frost perlu ambil langkah pertama untuk menyelesaikannya.

“Cara bagaimana beliau mahu menyelesaikannya termasuk permohonan maaf itu semua terpulang kepada Frost. Yang penting, isu ini perlu diselesaikan segera,” katanya.

Ditanya adakah Chong Wei mampu bangkit semula selepas kecederaan ligamen lutut kiri, Kim Hock berkata, segala-galanya terpulang kepada tahap kecederaannya itu.

“Tapi, yang pasti ia akan mengambil masa untuk pulih semula,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Frost akur dengan saranan Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria supaya beliau dan Chong Wei ketepikan ego dan kembali menumpukan terhadap tugas masing-masing.

Chong Wei sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan Frost yang dikatakan tidak mengendahkan saranannya supaya menggantikan permukaan gelanggang Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang licin sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan berkenaan.

Pemain nombor satu dunia itu juga berang dengan Frost yang kerap bertanyakan kepada jurulatihnya, Hendrawan adakah kecederaan itu menandakan karier Chong Wei sudah berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 9:07 AM