GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Era Masyarakat 5.0 sudah mengevolusi dan membangunkan masyarakat dengan teknologi baharu bagi mencapai keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan penyelesaian masalah sosial. Berasal dari Jepun, evolusi ini menekankan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), robotik dan data besar dalam aspek kehidupan bagi meningkatkan kualiti hidup.

Melalui penerapan teknologi baharu ini, Masyarakat 5.0 dapat menjadikan kehidupan seharian lebih cekap dan inklusif, membolehkan setiap individu menikmati manfaat kemajuan teknologi tanpa mengira latar belakang ekonomi atau sosial.

Dalam konteks Malaysia Madani, penerapan prinsip Masyarakat 5.0 sangat relevan. Ia menekankan kemajuan seimbang antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial dengan memperkukuhkan perpaduan nasional, mempromosikan nilai murni, dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Dengan mengintegrasikan teknologi AI, IoT, robotik dan data besar, Malaysia boleh mempercepatkan transformasi digital dalam sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam.

Menurut laporan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, penggunaan teknologi digital dalam pelbagai sektor dijangka meningkat lebih daripada 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam Masyarakat 5.0, teknologi seperti AI dan IoT digunakan untuk bandar pintar, meningkatkan sistem penjagaan kesihatan dan membangunkan sektor pertanian pintar. Sebagai contoh, dalam sektor kesihatan, AI boleh digunakan untuk menganalisis data pesakit dan meramalkan penyakit, manakala IoT boleh menghubungkan peranti perubatan untuk pemantauan kesihatan secara real-time.

Antara cabaran utama dalam merealisasikan Masyarakat 5.0 adalah jurang digital yang merujuk kepada perbezaan akses dan penggunaan teknologi antara golongan berkemampuan dan sebaliknya. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sekitar 30 peratus daripada penduduk luar bandar masih tidak mempunyai akses kepada internet yang stabil. Tanpa akses kepada teknologi asas, golongan ini akan terus ketinggalan dan tidak dapat menikmati manfaat penuh daripada Masyarakat 5.0.

Oleh itu, bagi mencapai Masyarakat 5.0, kita memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam mengendalikan teknologi baharu. Namun, sistem pendidikan semasa mungkin tidak cukup untuk melahirkan pakar teknologi yang diperlukan. Data Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan hanya 40 peratus daripada pelajar yang mendaftar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM). Ini menunjukkan terdapat kekurangan minat dan kesedaran berkaitan pentingnya bidang ini dalam kalangan pelajar.

Dengan peningkatan penggunaan teknologi digital, isu keselamatan siber menjadi semakin meningkat. Kes seperti kecurian data dan serangan siber boleh memberi kesan besar terhadap keyakinan masyarakat terhadap teknologi. Menurut CyberSecurity Malaysia, jumlah serangan siber yang dilaporkan meningkat 20 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya.

Automasi dan penggunaan AI boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan, terutama dalam sektor yang bergantung kepada tenaga kerja manual. Kajian oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan hampir 25 peratus daripada pekerjaan di Malaysia berisiko digantikan oleh automasi dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ini boleh menimbulkan masalah pengangguran dan ketidakstabilan ekonomi jika tidak ditangani dengan betul.

Untuk memastikan Malaysia berjaya dalam membangunkan Masyarakat 5.0 dengan sokongan infrastruktur teknologi yang mantap, beberapa strategi perlu diperkasakan untuk transformasi masyarakat 5.0.

Strategi Malaysia sedang giat membangunkan infrastruktur teknologi untuk menyokong Masyarakat 5.0. Pelancaran rangkaian 5G, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025, adalah langkah penting dalam menyediakan sambungan internet yang pantas dan stabil. Menurut laporan SKMM, pelaburan dalam infrastruktur digital meningkat 15 peratus setiap tahun sejak tahun 2020. Ini menunjukkan komitmen kerajaan bagi memastikan negara kita bersedia dari segi infrastruktur. Masyarakat digalakkan menggunakan aplikasi dan perkhidmatan digital dalam kehidupan harian seperti e-dagang, perbankan atas talian dan aplikasi kesihatan serta teknologi dalam sektor lain seperti pertanian dan perkilangan.

Kerajaan dan sektor swasta telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan rakyat. Program seperti Dana Pembangunan Kemahiran Digital dan latihan dalam talian yang ditawarkan oleh pelbagai institusi pendidikan adalah langkah positif ke arah membangunkan tenaga kerja mahir.

Dalam usaha menangani isu keselamatan siber, kerajaan memperkenalkan pelbagai undang-undang dan peraturan untuk melindungi data pengguna. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) adalah antara langkah penting dalam melindungi privasi pengguna. Selain itu, CyberSecurity Malaysia juga telah meningkatkan usaha untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan keselamatan siber melalui kempen kesedaran dan latihan. Menurut laporan tahunan CyberSecurity Malaysia, kesedaran tentang keselamatan siber dalam kalangan pengguna meningkat sebanyak 25 peratus pada tahun 2023.

Untuk mengurangkan kesan ekonomi daripada automasi, kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu pekerja yang terjejas. Program seperti Skim Latihan Semula dan Penempatan Pekerjaan (SLTP) bertujuan memberi latihan semula kepada pekerja dalam bidang yang berisiko digantikan oleh teknologi. Data dari Jabatan Tenaga Kerja menunjukkan bahawa lebih daripada 50,000 pekerja telah menyertai program ini sejak ia dilancarkan pada tahun 2020. Ini menunjukkan bahawa terdapat usaha yang berterusan untuk memastikan pekerja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran pekerjaan. Masyarakat perlu bersedia menerima perubahan yang dibawa oleh teknologi dan menyesuaikan diri dengan cepat, dengan sifat keterbukaan terhadap teknologi baru dan kesediaan untuk belajar dan menyesuaikan diri.

Kesimpulanya, Masyarakat 5.0 menawarkan peluang besar meningkatkan kualiti hidup dan menyelesaikan masalah sosial melalui penggunaan teknologi baharu.


Penulis Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 6:00 AM