WANITA yang melalui fasa perimenopaus mudah mengalami perubahan mood. - FOTO Freepik
WANITA yang melalui fasa perimenopaus mudah mengalami perubahan mood. - FOTO Freepik
Muhamaad Razis Ismail


Kita sering didedahkan berkenaan menopaus yang mana fasa yang akan dilalui wanita normal yang sudah tidak lagi subur ekoran pusingan haid yang terhenti selama 12 bulan berturut-turut.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sebelum fasa menopaus, wanita melalui satu fasa yang dinamakan sebagai perimenopaus.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan Hospital Pantai melalui laman web Health Pulse, perimenopuas ialah proses biologi semula jadi yang menandakan peralihan ke arah menopaus dan boleh bermula pada usia 40-an wanita walaupun boleh bermula lebih awal atau lewat, bergantung kepada beberapa faktor.

Ia adalah peralihan antara tahun reproduktif wanita dengan menopaus. Kebiasaannya bermula beberapa tahun sebelum menopaus.

Pada peringkat ini, badan wanita mula mengurangkan pengeluaran estrogen dan progesteron menyebabkan perubahan dalam kitaran haid, menyebabkan haid menjadi tidak teratur.

Perimenopaus boleh berlangsung beberapa tahun dengan tempoh purata sekitar empat tahun. Namun, sesetengah wanita mungkin mengalami perimenopaus selama beberapa bulan atau selama 10 tahun.

Tanda-tanda perimenopaus boleh berbeza-beza antara wanita dan tahapnya antara ringan hingga teruk.

Sesetengah wanita mungkin mengalami hanya beberapa gejala, manakala yang lain mungkin mengalami pelbagai gejala.

Antara gejala yang biasa dihadapi termasuk haid tidak teratur, panas badan dan berpeluh pada sebelah malam, perubahan mood, kesukaran tidur, kekeringan faraj dan kesuburan berkurangan.

Ada beberapa petanda anda perlu mendapatkan nasihat perubatan termasuk gumpalan darah haid, pendarahan tidak teratur antara kitaran, pendarahan selepas hubungan seks dan perubahan mood mengganggu keupayaan anda untuk bekerja.

Ada beberapa pilihan boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan akibat perimenopaus.

1. Terapi hormon

  • Boleh mengurangkan gejala perimenopaus seperti panas badan, perubahan mood dan haid yang tidak teratur.

    2. Pelincir dan pelembap faraj

  • Boleh digunakan untuk mengurangkan kekeringan faraj dan ketidakselesaan ketika hubungan seksual. Pilih alternatif berasaskan air untuk meminimumkan risiko kerengsaan.

    PENGAMBILAN makanan sihat seperti sayur dapat membantu menguruskan gejala perimenopaus. - FOTO Freepik
    PENGAMBILAN makanan sihat seperti sayur dapat membantu menguruskan gejala perimenopaus. - FOTO Freepik

    BERSENAM dapat membantu menangani penambahan berat badan dan meningkatkan mood serta kualiti tidur. - FOTO Freepik
    BERSENAM dapat membantu menangani penambahan berat badan dan meningkatkan mood serta kualiti tidur. - FOTO Freepik

    3. Pemakanan yang sihat

  • Diet yang sihat boleh membantu menguruskan penambahan berat badan dan gejala perimenopaus lain, termasuk risiko osteoporosis dan penyakit jantung yang lebih tinggi. Makanan diet rendah lemak dan kaya kalsium dan serat (iaitu buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh). Elakkan makanan diproses, minuman manis dan jumlah alkohol yang berlebihan.

    4. Senaman

  • Senaman yang kerap boleh membantu menangani penambahan berat badan dan meningkatkan mood serta kualiti tidur. Cuba lakukan sekurang-kurangnya 30 minit senaman sederhana setiap hari, seperti berjalan pantas, berbasikal atau berenang. Namun, elakkan bersenam sebelum tidur. Bagi wanita yang lebih berusia, bersenam secara kerap membantu pertumbuhan tulang, meningkatkan ketumpatan tulang dan mengurangkan risiko patah pinggul.

    5. Dapatkan rehat yang mencukupi

  • Rutin tidur yang sihat adalah penting dan sebaiknya sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam setiap malam. Elakkan pendedahan kepada skrin sebelum tidur, cipta persekitaran yang tenang dan santai pada waktu malam, elakkan kafein atau alkohol sebelum tidur.

    6. Menguruskan tahap tekanan

  • Membabitkan diri dalam teknik mengurangkan tekanan boleh melancarkan peralihan kepada menopaus dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan. Beberapa kaedah untuk dicuba ialah yoga, meditasi, senaman pernafasan dalam dan kewaspadaan.
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 6:47 AM