KESEDERHANAAN pendekatan aliran Asy’ariyyah  menyebabkan ia mudah diterima oleh sebahagian besar masyarakat Islam sehingga kini.
KESEDERHANAAN pendekatan aliran Asy’ariyyah menyebabkan ia mudah diterima oleh sebahagian besar masyarakat Islam sehingga kini.
Dr Azmil Zainal Abidin

Wujud soalan dangkal daripada pihak tertentu yang menyatakan akidah Al-Maturidiyah Al-Asha'irah tidak wujud pada zaman Nabi dan Sahabat, mengapa perlu diiktiraf? 

Dari segi kronologi, huraian ajaran Islam melalui tahap perkembangan tertentu tanpa menjejaskan asas yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. 

  Sebagaimana ilmu rasam al-Quran, ilmu tajwid, ilmu hadis dan ilmu fiqah, ilmu akidah turut melalui fasa sama berhubung isi kandungannya telah siap 'tersirat' dan dipegang oleh baginda Nabi SAW dan para sahabat pada zaman mereka. 

  Namun, perkembangan berikutnya yang dilalui oleh generasi umat Islam selepas itu pula menuntut agar ia dinyatakan secara 'tersurat' menurut huraian yang diperlukan oleh situasi dan kondisi semasa ketika itu.

  Contohnya, terdapat penulisan mushaf al-Quran masa kini secara tulisan berwarna yang mewakili hukum izhar, idgham dan mad dalam tajwid sedangkan penulisan al-Quran pada zaman baginda Nabi dan para sahabat dahulu langsung tidak bertitik atau berbaris. Namun begitu, kita yakin bahawa bacaan al-Quran secara bertajwid pada hari ini adalah selaras dan berkesinambungan dengan bentuk bacaan al-Quran pada zaman baginda dan para sahabat. 

  Mengapa? Jawabnya kerana para ulama selepas generasi sahabat telah menyusun panduan ilmu dan kaedah tajwid yang dapat membimbing umat Islam selepasnya agar bacaannya kekal terpelihara tanpa tersasar daripada landasan ajaran baginda Nabi dan para sahabat tatkala berinteraksi dengan al-Quran dan hadis. 

  Demikian juga perkembangan ilmu akidah tauhid. Ketika zaman Nabi SAW dan sahabat, segala persoalan akidah dirujuk terus kepada baginda. Ada ketikanya, wahyu juga masih turun untuk menjawabnya kerana Nabi masih hidup, manakala jiwa para sahabat bersih dan ikhlas, bahkan mereka menguasai bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dan hadis. 

  Berdasarkan kelebihan ini, mereka belum memerlukan penjelasan ilmu dan kaedah demi menjamin kefahaman yang benar terhadap al-Quran dan hadis. Namun begitu, realitinya jauh berubah selepas kewafatan baginda Nabi SAW. Akibat daripada tercetusnya pergolakan politik, gejala penyebaran riwayat palsu, pengeliruan musuh dalam kalangan mereka yang baru memeluk Islam, juga faktor terdedahnya umat Islam yang jahil berbahasa Arab kepada diskusi agama dan falsafah asing akibat peluasan wilayah baru Islam, maka timbul keperluan mendesak bagi umat Islam untuk berpandu kepada kaedah dan huraian ilmu dalam menangani cabaran tersebut. 

  Menurut kronologi perkembangan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ), kemunculan Asha'irah dan Maturidiyyah adalah lanjutan kesinambungan perjuangan Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) sebelumnya. Di ambang kemunculan Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari (wafat 324H) dan Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H), landskap politik dunia Islam dikuasai oleh golongan Muktazilah yang mempengaruhi khalifah, umat Islam dan ulama supaya menerima doktrin kemakhlukan al-Quran selama tiga era pemerintahan khalifah mulai tahun 21 Hijrah. Kemuncaknya, berlaku tragedi kewafatan Imam Ahmad bin Hanbal, tokoh ahli hadis selepas 28 atau 30 bulan disiksa dalam tahanan penjara kerana tegas menolak doktrin tersebut. 

  Di celah pertembungan Muktazilah yang rasionalis dengan pegangan ahli hadis yang literalis, Imam al-Ash'ari membawa pembaharuan dalam manhajnya yang sederhana. 

  Setelah berlalunya mihnah kemakhlukan al-Quran, ulama ahli hadis dan kalangan Hanabilah (pengikut Imam Ahmad bin Hanbal) semakin mencela dan bersikap prejudis terhadap ilmu kalam dan pendekatan takwil versi Muktazilah sehinggalah Imam al-Ash'ari dan Imam al-Maturidi berjaya membuktikan bahawa ia boleh dimanfaatkan dalam mengkhidmati al-Quran dan hadis. Keresahan ummah diredakan oleh keistimewaan metode yang menyeimbangkan keterikatan golongan Hasyawiyyah ahli hadis terhadap zahir nas dan ketakjuban golongan Muktazilah terhadap potensi akal. 

 Natijahnya, imej ilmu kalam dapat dipulihkan, manakala ahli hadis berjaya ditarik bergandingan dengan ahli kalam Sunni setelah sekian lama berenggang dengan ahli kalam Muktazilah yang memusuhi mereka.

Ketokohan Imam al-Ash'ari dalam akidah tauhid merujuk kepada usaha beliau menempatkan pendalilan akliah dalam daerah pemikiran agama. Tapak pemikiran beliau menyaksikan kemunculan sejumlah rantaian tokoh Asha'irah yang berganding dengan aliran Maturidiyyah.   

  Kesederhanaan pendekatan aliran Asy'ariyyah ini menyebabkan ia mudah diterima oleh sebahagian besar masyarakat Islam sehingga kini, bahkan melayakkan mereka memimpin gerakan pemikiran dalam menyaingi aliran Syi'ah pada kurun kelima sehingga kejatuhan Baghdad demi memelihara kemurnian akidah.

  Imam al-Ash'ari dan Imam al-Maturidi merumuskan prinsip atau persoalan pokok dalam agama yang diistilahkan sebagai Usuluddin, sekali gus menjelaskan  sempadan pemisah antara kefahaman akidah yang benar dan yang palsu anjuran golongan bidaah, sesat dan pemuja nafsu lainnya. Asas epistemologi (konsep ilmu), tafsiran metafizik dan pandangan alam serta neraca sistem nilai (aksiologi) yang diasaskan oleh Imam al-Ash'ari dan al-Maturidi ini telah melalui diskusi perbahasan yang matang dalam menangani wacana akidah dan pemikiran   sepanjang kurun berikutnya. 

  Usaha Imam al-Ash'ari dan Imam al-Maturidi ini diterima baik oleh majoriti ulama dalam segenap bidang ilmu agama, lantaran wibawa ilmiah, kekuatan hujah dan kemantapan metodenya yang dapat diterima akal, sarat hikmah dan menenangkan jiwa. Panji ilmu keagamaan yang dipimpin oleh tradisi kedua-dua tokoh ini menerima pengiktirafan dengan ungkapan, "apabila disebut Ahl al-Sunnah, maka maksud yang dikehendaki dengan mereka adalah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah."


Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 6:00 AM