Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Penuntut perempuan berusia 19 tahun yang disyaki menyembunyikan kelahiran bayi di asrama kolej swasta, semalam, direman empat hari di Hospital Raja Perempuan Zainab II, hari ini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Norida Mohd Husain.

Reman siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan bermula hari ini sehingga 11 Februari.

Terdahulu, Norida dilihat tiba di hospital berkenaan, kira-kira 12 tengah hari, sebelum keluar 30 minit kemudian.

Portal Harian Metro melaporkan penemuan mayat bayi lelaki di dalam tong sampah di bilik asrama kolej swasta, kira-kira 3 petang semalam.

Bayi yang cukup sifat itu ditemui di dalam plastik yang dibungkus dengan seluar dan ditemui pengawal keselamatan kolej terbabit.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Din Ahmad, dipetik berkata, penemuan mayat bayi itu terbongkar selepas pengawal keselamatan kolej itu terdengar perbualan beberapa penuntut yang menemui titisan darah di dalam bilik.

Pemeriksaan lanjut menemui mayat bayi berkenaan di dalam tong sampah.

Ketika kejadian itu, penuntut itu sedang menerima rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 1:29 PM