LOKASI mayat bayi lelaki dipercayai ditemui ditanam berhampiran pokok di belakang rumah. FOTO Aizat Sharif
LOKASI mayat bayi lelaki dipercayai ditemui ditanam berhampiran pokok di belakang rumah. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Kangar: Polis menahan pembantu rumah warga Indonesia bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat bayi lelaki di belakang rumah di Taman Mutiara, di sini, 10.30 pagi, 30 Disember lalu.

Suspek, 24, yang juga ibu tunggal ditahan polis sehari selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mayat bayi itu ditemui apabila guru, 44, terbau bau sangat busuk di belakang rumahnya.

Katanya, lelaki itu mencangkul di lokasi berbau busuk itu sebelum menjumpai mayat disyaki bayi berbungkus kain putih yang sudah pun berulat.

"Terkejut dengan penemuan itu, guru itu kemudian bergegas ke Balai Polis Kangar untuk membuat laporan dan pemeriksaan polis mendapati bayi itu dijumpai tertanam di dalam tanah berkedalaman 0.127 meter (lima inci)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bayi itu masih bertali pusat dan beruri selain dibalut dengan kain berwarna putih.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat bayi itu adalah lelaki yang cukup sifat berukuran 46 sentimeter," katanya.

Yusharifuddin berkata, siasatan selanjutnya mendapati bahawa mayat bayi lelaki yang ditemui itu adalah anak suspek sendiri yang melahirkannya, 20 Disember lalu di bilik air, kediaman di Taman Mutiara.

Beliau berkata, suspek memandikan anaknya yang baharu dilahirkan namun menyedari tiada sebarang pergerakan pada bayi itu.

"Panik dan tidak tahu tindakan selanjutnya yang harus dilakukan, suspek secara senyap pergi ke belakang rumah jirannya itu pada 21 Disember, 6.30 pagi sebelum menggali tanah di kawasan itu dan menanam bayi berkenaan," katanya.

Mayat bayi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi proses bedah siasat pada 31 Disember lalu.

Reman suspek yang berakhir hari ini dilanjutkan selama dua hari lagi sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 12:39 PM