KEROPOK lekor yang sudah direbus.
KEROPOK lekor yang sudah direbus.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Bermula sebagai pembantu kepada ibunya yang juga pengusaha keropok, kini Siti Salmiah Razmi, 34, tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan yang datang mendapatkan bekalan di kilangnya.

Menurut Siti Salmiah, dia sudah ‘diajar’ ibunya, Saripah Abdul Ghani, 59, untuk menjaga dan mengambil hati pelanggan dengan tidak terlalu membezakan antara peniaga dan pelanggan biasa.

“Saya ingat pesanan ibu supaya sentiasa berlaku adil. Untung kecil, tapi biarlah ia berpanjangan, baru perniagaan lebih berkat.

“Saya dan suami, Mohd Syamsul Musa, 32, sudah lebih empat tahun menjalankan perusahaan membuat keropok bermula di bengkel di Permatang Badak, Kuantan, Pahang sebelum berpindah ke tempat baru, Oktober tahun lalu.

“Bernaung di bawah syarikat Daliyaa Enterprise, kini peruntukan mencecah RM140,000 sebulan termasuk membeli bahan mentah, bayaran bil air dan elektrik, sewa tapak dan gaji pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kilang memproses keropok miliknya di Kampung Teluk Mahang, Jalan Kuantan-Pekan, baru-baru ini.

Siti Salmiah berkata, operasi kilang bermula 7 pagi hingga 5 petang setiap Sabtu hingga Khamis dan tutup pada Jumaat menggunakan 16 tenaga kerja bermula daripada pemprosesan hingga penjualan.

“Ketika memulakan perusahaan ini, saya hanya mampu mengeluarkan modal RM10,000 tetapi untuk operasi kilang baru saya memperuntukkan modal hampir RM100,000 termasuk membina bangunan, membeli mesin penghancur ikan, dapur rebusan dan mesin pengasing tulang serta mesin pemotong keropok keping.

“Syarikat kami memproses empat jenis keropok iaitu keropok (campuran ikan tamban dan selayang), keropok sagu dan keropok keping (ikan tamban) serta keropok keping (ikan kerisi),” katanya.

Menurutnya, bekalan ikan diambil melalui pembekal di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Jalan Kemunting.

“Syarikat membelanjakan RM24,000 untuk 12,500 kilogram (kg) ikan, RM9,300 untuk 8,400 kg tepung sagu dan kanji sementara RM1,120 (air batu) selain minyak diesel untuk kegunaan dapur berjumlah RM1,800 bagi menampung pengeluaran produk dalam tempoh seminggu.

“Keropok sagu dijual pada 70 sen sebatang, keropok lekor kecil (80 sen sebatang), keropok lekor bersaiz besar hitam dan putih (RM1.60 dan RM1.70 sebatang), keropok leper (RM8) dan keropok nipis (RM8.50 sebungkus),” katanya.

Menurutnya, setiap pekerja memiliki kemahiran ditambah pula penggunaan beberapa jenis peralatan moden seperti mesin buang tulang, mesin penghancur ikan, mesin pemotong keropok nipis dan mesin uli yang mempercepatkan proses membuat keropok.

“Selepas siap diproses, keropok direbus dalam kadar waktu berbeza untuk setiap jenis seperti keropok lekor yang hanya memerlukan 20 minit untuk 40kg sementara keropok sagu hanya 15 minit masa diperlukan.

“Keropok perlu disejukkan sebelum dimasukkan ke dalam plastik untuk jaminan kualiti sebelum diambil pelanggan kerana kami tidak menggunakan bahan pengawet,” katanya.

Sementara itu, Mohd Syamsul berkata, dia turut mempelajari proses membuat keropok daripada ibu mentuanya bagi membantu memudahkan isteri menguruskan bahagian kewangan dan pemasaran.

“Di peringkat awal perusahaan, saya banyak dibantu ibu mentua untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan digemari pelanggan.

“Paling penting dari segi sukatan bahan mentah dan strategi pemasaran yang berterusan serta cara-cara ‘mengikat hati’ pelanggan untuk terus setia bersama kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 5:42 AM