Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Keropok lekor gergasi atau dikenali dengan panggilan keropok lekor Gasi menjadi tarikan utama bazar Ramadan di Pantai Batu Burok di sini, sepanjang Ramadan ini.

Kebiasaannya keropok lekor yang dijual adalah seberat 100 gram dan berharga RM1 sebatang, tetapi berlainan dengan keropok lekor Gasi apabila saiznya lebih besar daripada biasa.

Gerai menjual keropok lekor gergasi seberat kira-kira 600 gram itu menjadi tumpuan orang ramai yang ingin menikmati kelazatan dan dianggap pembuka selera selepas seharian berpuasa.

Pengusahanya Aishah Ismail, 29, dari Kampung Losong di sini, berkata sejak bermulanya Ramadan pada Ahad lalu, sebanyak 20 batang keropok lekor Gasi habis terjual.

"Kita hanya membawa 20 batang keropok lekor gergasi yang setiap satunya seberat 600 gram sebagai percubaan pada hari pertama Ramadan pada Ahad lalu.

"Tidak sangka mampu terjual dalam tempoh 15 minit sahaja," katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Pantai Batu Burok di sini.

Aishah yang dibantu rakannya, Iza Ismail, 29, berkata sebanyak 40 batang keropok lekor Gasi turut licin dalam tempoh setengah jam pada hari kedua Ramadan manakala 80 batang keropok lekor laku pada hari ketiga Ramadan.

AISHAH jual keropok lekor gergasi yang jadi tarikan utama bazar Ramadan di Pantai Batu Burok. FOTO Ghazali Kori
AISHAH jual keropok lekor gergasi yang jadi tarikan utama bazar Ramadan di Pantai Batu Burok. FOTO Ghazali Kori

"Selain menjual keropok lekor gergasi, kita juga menjual keropok lekor saiz biasan yang setiap satunya seberat kira-kira 100 gram.

"Kebanyakan pelanggan memilih keropok lekor gergasi rebus berbanding keropok lekor bersaiz biasa yang digoreng," katanya.

Bagaimanapun, Aishah dan Iza bersedia memenuhi permintaan pelanggan jika mereka mahu keropok lekor gergasi itu digoreng walaupun proses mengoreng mengambil masa setengah jam.

Ketika diminta berkongsi ramuan untuk menghasilkan keropok lekor gergasi, Aishah berkata, campuran ikan selayang dan tamban segar serta tepung kanji dan sagu yang diuli sebati menjadikan isinya lembut walaupun mengambil masa kira-kira 45 minit untuk direbus.

Katanya, proses merebus keropok lekor gergasi perlu dilakukan berhati-hati termasuk api kecil bagi mengelakkan makanan kegemaran masyarakat itu hanya masak di sebelah luar.

"Selain keropok lekor gergasi seberat 600 gram, kita juga boleh menghasilkan makanan kegemaran seluruh masyarakat bersaiz lebih besar, sama ada seberat satu atau dua kilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 7:01 AM