ZAYIAH membungkus keropok.
ZAYIAH membungkus keropok.
Teks dan gambar Mohd Rafi Mamat

Bermula dengan modal RM10,000 kini perniagaan dengan jenama ‘Manggis’ mampu memberi pendapatan lumayan antara RM12,000 hingga RM15,000 sebulan menerusi jualan pelbagai jenis keropok ikan parang dan tamban.

Zayiah Yunus, 46, peserta Azam Tani di bawah bimbingan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) sentiasa memberi sokongan hingga perniagaannya berkembang.

Menurutnya, selain khidmat nasihat dan bimbingan secara berterusan daripada pegawai berpengalaman kemudahan lain yang diberikan MARDI ialah peti sejuk dan mesin memproses keropok.

“Kini selepas lebih lima tahun menjalankan perniagaan di kawasan jualan sempadan Kuantan-Kemaman, Terengganu, saya berbangga apabila terus bertahan walaupun terpaksa bersaing dengan 35 peniaga di tempat sama.

“Selain keropok keping, saya juga turut menjual keropok lekor yang disediakan secara manual, proses menggentel dan merebus dilakukan dalam premis menggunakan dapur gas.

“Selepas ketiadaan suami akhir tahun lalu, anak saya Mohd Zakiran, 23, banyak membantu menyediakan keropok selain turut menjual bermula 9 pagi hingga 6 petang bergantung kepada permintaan,” katanya yang seolah-olah mendapat suntikan semangat daripada arwah suaminya, Mustfa Kamal.

Bagi menceriakan premis yang dibina atas tanah yang disewa daripada penduduk setempat beliau turut menjual pelbagai produk hasil laut seperti sotong kering, ikan, bilis dan makanan ringan.

“Bagi memastikan keropok yang dihasilkan terus diterima pengguna, saya sentiasa menjaga kualiti terutama membabitkan bahan mentah seperti ikan dan tepung.

“Saya hanya menggunakan ikan tamban dan ikan parang yang segar dan bermutu yang diterima terus daripada pemborong tetap bagi mengelak keropok dihasilkan gatal seterusnya menyebabkan rasa tidak sedap,” katanya.

Malah beliau sentiasa memegang pesanan arwah suami yang mengingatkan supaya memberi keutamaan kepada kualiti keropok dihasilkan walaupun hanya mampu meraih keuntungan tidak seberapa.

“Saya bersyukur perniagaan keluarga yang diusahakan ini memberi pendapatan lumayan dan mampu bertahan hingga ke hari ini, malah pengguna dapat menerima dengan baik keropok dihasilkan.

“Saya mempunyai peminat keropok dari seluruh negara, mereka singgah ke gerai saya setiap kali datang ke pantai timur. Produk saya juga berjaya melangkah ke peringkat antarabangsa seperti Singapura, Arab Saudi dan Brunei,” kata ibu kepada lima anak itu.

Zayiah berkata, dia menjual keropok keping dengan harga antara RM25 hingga RM30 sekilogram mengikut jenis ikan sementara keropok lekor dijual dengan harga RM1 sebatang.

Beliau berazam meneruskan perniagaan yang ditinggalkan arwah suaminya kerana semangat dan kesungguhan arwah menjadi pendorong kuat untuk berjaya dalam perniagaan walaupun terpaksa berhadapan dengan banyak cabaran.

“Pesan arwah supaya jangan takut dengan saingan pasti saya ingati bagi meneruskan perniagaan keropok yang sememangnya begitu terkenal di kawasan pantai timur.

“Kesungguhan MARDI membantu turut menjadi pembakar semangat kepada untuk meneruskan perniagaan yang menjadi kebanggaan,” katanya yang bercadang membuka cawangan baru selepas ini.

Sementara itu, Pengarah MARDI Pahang Mohd Ridzuan Mohd Saad berkata, pihaknya akan terus membantu Zayiah dan anaknya meneruskan perusahaan keropok dalam usaha memastikan perniagaannya berkembang maju.

“Kita bakal berbincang dengan mereka untuk memastikan bentuk bantuan yang diperlukan, menerusi program Azam Tani usahawan kecil layak menerima pelbagai kemudahan disediakan kerajaan.

“MARDI berharap kejayaan Zayiah dalam perniagaan keropok menjadi contoh kepada individu lain untuk berusaha terbabit menjadi usahawan dalam sebarang bidang yang dianggap sesuai dan mampu memberi pendapatan lumayan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 6:02 AM