Leong Vin Jee (kiri) diiring keluar dari mahkamah selepas membayar wang ikat jamin RM5,000, hari ini. - Foto MALAI ROSMAH TUAH
Leong Vin Jee (kiri) diiring keluar dari mahkamah selepas membayar wang ikat jamin RM5,000, hari ini. - Foto MALAI ROSMAH TUAH
Norasikin Daineh


Kota Kinabalu: Pemilik bot katamaran yang karam hingga menyebabkan tiga maut dan enam masih hilang dibebaskan hari ini, selepas dia membayar ikat jamin RM5,000.

Peguamnya Edward Paul berkata, dalam prosiding yang dilakukan di wad Hospital Queen Elizabeth (HQE) petang semalam, pelanggannya, Leong Vin Jee, 44, mengaku tidak bersalah di depan Majistret Jessica Ombou Kakayun bagi tuduhan membawa penumpang berlebihan ketika tragedi bot karam di Pulau Mengalum, 28 Januari lalu.

Menurut Edward, semalam, majistret turut mendengar keterangan daripada dua pelancong China di HQE.

"Hari ini, Leong hadir di mahkamah untuk membayar ikat jamin yang dikenakan terhadapnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, prosiding semalam yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatima Abd Jabar, dilakukan di wad HQE kerana saksi masih dirawat di hospital itu.

Edward berkata, kes pelanggannya itu akan disebut semula pada 28 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 11:55 AM