Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Tiada sasaran pingat diletakkan kepada trio pelumba negara dalam acara pecut berpasukan pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di New Delhi yang membuka tirai hari ini.

Menurut jurulatih trek negara Junaidi Nasir, beliau serta ketua jurulatih negara John Beasley masih dalam proses mencari kombinasi terbaik untuk diketengahkan.

“Kami tidak menetapkan pingat untuk ACC kali ini kerana hanya beberapa bulan saja menjalani persiapan namun jika mampu berada dalam tiga kedudukan teratas, ia adalah bonus.

“Fokus di ACC adalah lebih kepada melihat dan mencari kombinasi tepat bagi menghadapi temasya yang lebih besar seperti Sukan Asia,” jelasnya.

Malaysia mempunyai lima pelumba pecut diketuai pemenang pingat gangsa Olimpik Rio Azizulhasni Awang (gambar), Shah Firdaus Shahrom, Khairil Nizam Rasol, Fadhil Zonis dan Sharez Efendi Shahrin.

Bagaimanapun untuk ACC, Shah Firdaus akan diberikan kepercayaan bersama-sama Khairil Nizam dan Fadhil untuk menggalas cabaran negara.

“Tahun lalu gandingan Khairil Nizam, Fadhil dan Shariz Efendi berada dalam kedudukan keempat dengan catatan masa berbanding tempat ketiga tidak terlalu jauh.

“Namun Sharez Efendi tidak dapat ke ACC kali ini kerana masih dalam proses pemulihan akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Kali terakhir trio berpasukan negara memenangi emas di ACC adalah pada edisi 2009 menerusi Azizulhasni, Rizal Tisin dan Edrus Yunos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:04 AM