SHAH Firdaus (kanan) dilabel pengganti Azizulhasni.
SHAH Firdaus (kanan) dilabel pengganti Azizulhasni.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Atlet berbasikal trek negara Shah Firdaus Sahrom mengakui sedikit tertekan apabila tumpuan lebih terarah kepadanya bermula di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) selepas dilabel bakal pengganti Azizulhasni Awang pada masa akan datang.

Bagaimanapun dia melihatnya dari aspek positif dan tidak mengganggu fokus bagi mempamerkan kayuhan terbaik di ACC India yang bermula Isnin nanti.

“Sedikit tertekan namun saya melihatnya secara positif dan pembakar semangat untuk terus mempamerkan peningkatan.

“Saya berharap kali ini mampu sekurang-kurangnya menaiki podium kerana belum pernah melakukannya sebagai pelumba elit. Saya sekadar menduduki tempat keempat acara keirin tahun lalu,” menurut pelumba berusia 22 tahun itu.

Shah Firdaus mempamerkan persembahan membanggakan dalam dua siri Piala Dunia Klasik tahun lalu dan peningkatannya dipuji ketua jurulatih negara John Beasley.

“Saya menaruh keyakinan mampu menaiki podium berdasarkan prestasi ketika ini. Bagaimanapun perancangan bakal bergantung kepada pencabar negara lain,” tambahnya.

Selain menyertai keirin dan pecut individu, Shah Firdaus turut menyertai pecut berpasukan bergandingan bersama Muhammad Khairil Nizam Rasol dan Muhammad Fadhil Zonis.

“Ini adalah kombinasi yang baru. Semasa latihan semuanya kelihatan bagus namun perlu lihat keadaan sebelum kejohanan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:26 AM