BEASLEY (kanan) senarai trio terbaik negara di Sukan Asia Ogos nanti. FOTO Eizairi Shamsudin
BEASLEY (kanan) senarai trio terbaik negara di Sukan Asia Ogos nanti. FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain

Nilai: “Anda akan melihat lebih banyak lagi persembahan hebat daripada Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom.” Itu janji ketua jurulatih negara, John Beasley ketika ditanya mengenai dua pelumba utama negara itu selepas mereka menamatkan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, semalam.

“Banyak lagi akan hadir, anda sudah melihat sedikit daripadanya di sini. Anda sudah melihat kepantasan Azizulhasni dan Shah Firdaus.

“Azizulhasni berada pada prestasi ‘super’ untuk menghadapi Kejohanan Dunia dalam masa terdekat. Lebih bertenaga dengan misi utama adalah melayakkan diri ke final terlebih dulu. Saya merasakan pelumba tuan rumah, Belanda akan menjadi saingan utama,” katanya.

Azizulhasni melakar rekod baru Asia dengan memecahkan badi untuk melakar catatan bawah 10 saat dengan masa 9.774 saat (rekod paras laut) selain Shah turut melakukan 9.977s dalam kelayakan pecut individu.

“Kami agak ‘berkarat’ kerana sudah 11 bulan memberi fokus kepada latihan gimnasium dan tidak bersaing pada perlumbaan kompetitif seperti ini. Selepas ini akan kembali fokus kepada membina kepantasan pelumba.

“Terus dan yakin kepada perancangan kami, ia berkisar dengan perancangan empat tahun (Olimpik 2020). Namun kami akan mempamerkan sesuatu di Sukan Asia nanti. Kami akan memberikan yang terbaik musim ini,” tambahnya.

Menurut pengendali dari Australia berkenaan, beliau akan menyenaraikan trio pecut terbaik negara di Sukan Asia pada Ogos nanti.

Ini bermakna Beasley bakal menyenaraikan Azizulhasni, Shah Firdaus dan salah seorang daripada Muhammad Khairil Nizam Rasol, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dalam misi membentuk gandingan terbaik menuju Olimpik 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:53 AM