TANAH runtuk menyebabkan Jalan Charuk Nau ditutup sementara. FOTO Facebook/Info Cegah Jenayah @ Kulim
TANAH runtuk menyebabkan Jalan Charuk Nau ditutup sementara. FOTO Facebook/Info Cegah Jenayah @ Kulim
Safuri Kamarudin


Baling: Jalan Charuk Nau dari dari Ibu Pejabat Polis Daerah Baling menghala ke Kampung Titi Teduri untuk ke Kupang ditutup sementara kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh kira-kira jam 7 pagi tadi.

Tanah runtuh ekoran hujan lebat berterusan sejak akhir-akhir ini menyebabkan struktur tanah di jalan itu runtuh dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Baling, Aswad Md Isa berkata, buat sementara jalan itu ditutup untuk kerja-kerja pemantauan pada struktur tanah yang masih belum stabil.

Beliau berkata, JKR juga sudah memohon peruntukan kecemasan bagi membaik pulih struktur tanah itu.

"Tanah runtuh itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 42 meter panjang dan lebar 32 meter. Kita terpaksa tutup kepada semua kenderaan kerana struktur tanah belum stabil dan khuatir kerana hujan masih berterusan dan akan memburukkan lagi keadaan dan berbahaya kepada pengguna," katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jalan itu ditutup kerana bimbang kepada pengguna terutama pada waktu malam yang boleh berlaku kejadian buruk.

"Orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kupang-Baling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 10:02 PM