Lima anak Allahyarham Mohd Noor dan Suriya akan dijaga datuk mereka. FOTO ihsan pembaca
Lima anak Allahyarham Mohd Noor dan Suriya akan dijaga datuk mereka. FOTO ihsan pembaca
Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: Lima anak Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling yang berusia antara lima hingga 11 tahun akan dijaga oleh datuk mereka di Kampung Buluh, Gual Ipoh, di sini.

Abdul Rahman Daud, 60, berkata, dia akan menjaga lima cucunya iaitu dua lelaki dan tiga perempuan memandangkan mereka menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

Katanya, lima cucunya, Irdina Aliah Mohd Noor, 11; Insyirah Aliah, 10; Mohamad Adib Mustakim, 8; Imanina Aliah, 6, dan Muhamad Adib Mirza, 5, akan dijaga dengan penuh kasih sayang.

"Saya akan menjaga dan menguruskan mereka dengan sempurna," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buluh, Gual Ipoh, di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub, 38, dan Suriya Abdul Rahman, 37, dikebumikan di dalam satu liang lahad pada jam 6.30 petang tadi.

Harian Metro hari ini melaporkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan isterinya maut manakala empat anaknya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri Jalan Baru Kupang-Baling jam 7.15 pagi tadi.

Dalam kejadian itu mangsa, Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub dan isteri, Suriya Abdul Rahman bersama empat anak menaiki kereta Myvi dalam perjalanan menghantar isterinya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri dan sebaik sampai di lokasi kejadian memberhentikan keretanya untuk membelok ke kanan apabila tiba-tiba sebuah pikap Toyota Hilux dari arah Baling, merempuh belakang kereta mangsa.

Akibat rempuhan itu kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar kereta Honda City yang datang dari arah Kupang ke Baling hingga menyebabkan suami isteri itu parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 11:20 PM