JALAN Simpang Pulai - Cameron Highlands.
JALAN Simpang Pulai - Cameron Highlands.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Keputusan membuka jalan kepada kenderaan ringan di Seksyen 43.9, laluan persekutuan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, yang terbabit dalam runtuhan cerun Sabtu lalu, dibuat selepas mendapat pengesahan Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jurutera Daerah Kinta Ir Jeffryl Azniel Adzar berkata, buat masa ini, siasatan pergerakan tanah masih dijalankan di tapak terbabit dengan penilaian ke atas data cerap melalui siasatan berkenaan akan dibuat oleh bahagian pakar CKC.

"Jalan sementara berbentuk lencongan jalan yang merupakan jalan lama, terletak bersebelahan dengan jalan yang runtuh, sedang dibaiki dan ditambah baik untuk keselamatan pengguna," katanya dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Ditanya berkaitan jangkaan tarikh jalan sementara terbabit akan dibuka kepada kenderaan ringan, beliau bagaimanapun tidak menyatakannya secara terperinci.

Ketika ditanya mengenai terma 'terlalu awal' yang diguna pakai bagi menggambarkan insiden berkenaan sekali gus disifatkan perlu mengambil masa terlalu lama bagi kerja membaik pulih kawasan berkenaan, Jeffryl berkata, runtuhan kali ini berlaku dalam tempoh proses reka bentuk sedang dibuat.

"Kelulusan bagi projek ini diperoleh tahun ini. Selepas kelulusan peruntukan diterima, kerja awalan seperti siasatan tanah sudah dijalankan, dan cadangan reka bentuknya sedang dibuat, (yang mana) runtuhan cerun berlaku dalam tempoh reka bentuk sedang dibuat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Jeffryl dipetik sebagai berkata, kerja-kerja membina laluan lencongan itu bergantung kepada pemantauan runtuhan cerun terbabit yang mana, jika ia berada dalam keadaan stabil, maka JKR akan memulakan pembinaan pada minggu hadapan.

Kejadian runtuhan cerun dan jalan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jalan Raya Simpang Pulai itu membabitkan runtuhan sepanjang kira-kira 30 meter dengan kelebaran lima meter membabitkan kedalaman 70 meter.

Susulan insiden itu, JKR pada kenyataan berkata, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Tapah ke Cameron Highlands sebagai jalan perhubungan sementara.

Runtuhan cerun itu yang berlaku jam 5.45 petang, 18 September lalu dipercayai berpunca daripada hujan berterusan selain aliran air bawah tanah yang mengakibatkan struktur tanah lemah dan tidak kukuh sebelum laluan ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 5:37 PM