Seorang daripada tiga anak Allahyarham Mohd Noor yang dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk menjalani pembedahan esok. FOTO Safuri Kamaruddin
Seorang daripada tiga anak Allahyarham Mohd Noor yang dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk menjalani pembedahan esok. FOTO Safuri Kamaruddin
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tiga anak perempuan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling yang terbabit kemalangan pagi tadi akan menjalani pembedahan esok di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, dekat sini.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Irdina Aliah Mohd Noor, 11, patah tulang tangan kanan antara siku dan pergelangan tangan.

Menurutnya, Insyirah Aliah, 10, pula patah tulang tangan kanan serta pergelangan tangan kanan manakala seorang lagi, Imanina Aliah, 6, patah tulang paha kiri.

"Mereka dalam keadaan sedar dan stabil sementara seorang lagi adik beradik itu Mohamad Adib Mustakim, 8, hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Mereka tiba di HSAH dari Hospital Baling 2.25 petang tadi dan akan menjalani pembedahan esok," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan isterinya maut manakala empat anaknya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri Jalan Baru Kupang-Baling pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub,38, dan Suriya Abdul Rahman, 37, sekeluarga menaiki kereta Myvi dalam perjalanan menghantar isterinya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri dan sebaik sampai di lokasi kejadian memberhentikan keretanya untuk membelok ke kanan apabila tiba-tiba sebuah pikap Toyota Hilux dari arah Baling, merempuh belakang kereta mangsa.

Akibat rempuhan itu kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar kereta Honda City yang datang dari arah Kupang ke Baling hingga menyebabkan suami isteri itu parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 10:57 PM