KEADAAN tanah runtuh di alan Kupang-Gerik berdekatan Kampung Kemangi, Baling, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN tanah runtuh di alan Kupang-Gerik berdekatan Kampung Kemangi, Baling, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Safuri Kamarudin


PENGGUNA jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika melalui Jalan Kupang-Gerik berdekatan Kampung Kemangi, Baling berikutan kejadian tanah runtuh, petang tadi.

Pegawai Daerah Baling Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku pada 4 petang menyebabkan kenderaan menuju ke Gerik, Perak tidak dapat meneruskan perjalanan mereka.

Katanya, tanah runtuh di laluan menghala ke Gerik dipercayai berlaku akibat hakisan berikutan hujan lebat.

“Sehubungan itu semua kenderaan yang menghala ke sana (Gerik) terpaksa menggunakan laluan dari Baling ke Pengkalan Hulu, Perak sebelum meneruskan perjalanan ke Gerik.

“Saya berharap kenderaan berat dan ringan tidak menggunakan jalan berkenaan bagi mengelak risiko terutama memandu pada waktu malam,” katanya.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah segera dengan meletakkan papan tanda amaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 8:01 PM