WILLIAMS  mahu anak buah  fokus  jumpa Perak.
WILLIAMS mahu anak buah fokus jumpa Perak.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Jurulatih Melaka United Eric Williams mengaku Perak lawan sukar selain dianggap antara pilihan bakal menyerlah di pentas Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya, kejayaan The Bos Gaurus menewaskan Pulau Pinang 1-0 dan mengikat Pahang 1-1 dalam dua pertemuan awal memberi gambaran pasukan itu memiliki barisan mantap yang seharusnya diberi perhatian serius anak buahnya pada perlawanan di Stadium Ipoh, malam esok.

Katanya, beraksi di gelanggang sendiri juga antara faktor yang meletakkan tuan rumah memiliki kelebihan berikutan mereka sudah biasa menjalani latihan dan mengharungi perlawanan di stadium berkenaan.

“Apapun, tanpa kehadiran penonton pada perlawanan terbabit diharap mampu memberi impak besar buat kami yang pastinya tidak begitu tertekan.

“Seharusnya situasi seperti itu mampu memberi kesempatan buat pemain untuk meledak prestasi lebih membanggakan berbanding ketika mengikat Selangor 1-1 pada perlawanan pembukaan di Selayang minggu lalu,” katanya.

Menurutnya, kehadiran penyokong pasti memberi suntikan semangat kepada mana-mana pasukan untuk memperaga persembahan terbaik tetapi keadaan sebaliknya memberi ruang buat pelawat untuk mencipta kejutan.

Bagaimanapun, beliau menganggap bukan mudah untuk menundukkan Perak walaupun pada masa sama yakin dengan kemampuan anak buahnya.

Williams berkata, beliau berharap pemain dapat memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

Beliau berkata, beberapa kelemahan yang berlaku pada pertembungan dengan The Red Giants sudah diperbaiki dan mengharapkan pemain bertindak cemerlang untuk menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:39 AM