PENYERANG UiTM FC, Akanni Sunday Wasiu (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan.
PENYERANG UiTM FC, Akanni Sunday Wasiu (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan.

Melaka: Walaupun tewas, jurulatih UiTM FC Wan Mustaffa Wan Ismail tetap berpuas hati dengan persembahan pemainnya ketika berdepan cabaran Melaka United pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, kelmarin.

Menurutnya, hadir ke gelanggang lawan tanpa empat pemain utama bukan penghalang buat anak buahnya memberi tentangan sengit kepada tuan rumah sebelum tewas 1-2 menerusi dua sepakan percuma Felipe de Souza pada setiap babak saingan.

“Kami tidak akan mengaku kalah dalam usaha mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan baki tiga aksi timbal balas menentang Melaka, Kedah dan Kelantan.

“Apa yang saya harapkan pemain akan meningkatkan keupayaan bersaing walaupun kami masih belum mencatat sebarang mata dalam Kumpulan C,” katanya.

Beliau berkata, kegembiraan beliau menyaksikan persembahan anak buahnya sedikit terganggu dengan kualiti pengadil perlawanan.

Menurutnya, tindakan pengadil memberi sepakan percuma pada pertengahan babak kedua kepada tuan rumah atas alasan bola terkena tangan pemainnya adalah satu kesilapan.

Sepakan percuma diberikan pengadil ketika kedudukan terikat 1-1 itu menjadi punca kekalahan UiTM FC kepada Melaka.

Sehubungan itu, UiTM FC akan membuat aduan rasmi berkaitan keputusan pengadil yang disifatkan kurang tepat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 9:01 AM