Yusmizal Dolah Aling


Nay Pyi Taw : Hanya di Yangon. Itu kesimpulan pertemuan penting delegasi Malaysia di sini hari ini dengan kerajaan Myanmar yang secara lisan bersetuju Misi Food Flotilla For Myanmar masuk ke negara ini untuk menghantar bantuan.

Duta Besar Malaysia ke Myanmar Mohd Haniff Abd Rahman berkata, atas faktor keselamatan, permintaan untuk berlabuh dan menyerahkan 1,000 tan bantuan di Sittwe ditolak pihak berkuasa.

Katanya, pihaknya berharap mendapat jawapan bertulis dalam masa terdekat bagi memudahkan persiapan sekretariat menyusun atur pergerakan misi itu yang dijadual berlepas pada 3 Februari depan.

"Kedua-dua pertemuan hari ini berlangsung dalam suasana yang baik dan positif. Kerajaan Myanmar juga berterima kasih dengan misi berkenaan.

"Bagaimanapun, atas faktor politik dan keselamatan di Sittwe, kita hanya akan ke Yangon dan menyerahkan barang-barang kita di sana. Kemudian, semua barangan ini akan dihantar ke Sittwe," katanya selepas pertemuan bersama Ketua Pengarah Organisasi Antarabangsa dan Ekonomi Kementerian Luar Negeri Myanmar Kyaw Moe Tun dan Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye.

Turut serta Ketua Penerangan Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) Datuk Razali Ramli dan Naib Presiden KP1M Harridzs Mohan Abdula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 4:30 PM
Razali (kanan) bersalaman dengan Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye sambil diperhatikan Mohd Haniff. FOTO ihsan KP1M
Razali (kanan) bersalaman dengan Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye sambil diperhatikan Mohd Haniff. FOTO ihsan KP1M