SATISH (kanan) bersama Stephen Menon.
SATISH (kanan) bersama Stephen Menon.
Siti Salmiah A Hamid


Diambil daripada perkataan bahasa Filipina yang bermaksud ‘awal,’ ‘tempat asal’ dan ‘genesis’ namun dalam bahasa Malaysia, perkataan ‘simula’ lebih tepat diterjemah kepada ‘orang yang memulakan sesuatu.’

Oleh itu, ia bertepatan hasrat kurator, Stephen Menon supaya pameran SIMULA sebagai penanda permulaan baru untuk Galeri B Artistic di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Artis fotografi dan pemilik galeri, Satish Kumar berkata, ruang kreatif mula diperkenalkan sejak tahun 2012 bagi memberi peluang kepada artis tempatan mengetengahkan bakat masing-masing.

“Ia bukan saja untuk membantu artis mempamerkan hasil karya, tapi mampu mendidik orang awam dan meningkatkan kesedaran bagi mengenali nilai seni,” katanya.

Barisan sembilan artis berkenan ialah Dr Hushinaidi Abdul Hamid, Ajim Juxta, Rizhar Arahim, Aziz Talha, Marisa R Ng, Nicholas Choong, Liu Cheng Hua, Mahzurah Shaari dan Satish Kumar.

Setiap artis memiliki latar belakang berbeza terutama dari segi pengalaman malah medium digunakan juga berbeza termasuk akrilik di atas kanvas, cetakan digital di atas kertas dan campuran media.

Pengunjung pastinya teruja melihat pelbagai karya abstrak indah, figuratif, fotografi dan karya instalasi Liu Cheng Hua.

Menurut Stephen, artis yang dipilih memiliki gaya, idea dan budaya tersendiri serta mampu dipersembahkan untuk tontonan masyarakat.

“Kebanyakan galeri hanya mengetengahkan artis yang sudah pun menempa nama dalam industri ini namun SIMULA dicipta untuk memberi sinar dan perhatian kepada bakat baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 7:03 AM