California: Tiger Woods (gambar) berharap persekitaran lapangan Torrey Pines yang menjadi tuan rumah kejohanan Terbuka Farmers Insurance akan membantunya meningkatkan permainan apabila turun beraksi secara penuh sejak 17 bulan lalu.

Woods yang kali terakhir bermain di acara Jelajah PGA pada Ogos 2015, mempunyai kenangan baik di lapangan yang terletak di selatan California itu selepas menang tujuh kali termasuk Terbuka AS 2008.

Woods, 41, yang tidak bermain akibat kecederaan belakang termasuk menjalani pembedahan, terdesak kembali menyerlah menerusi beberapa kejohanan awal.

“Kita semua sedar bahawa saya tidak bermain secara penuh sejak sekian lama dan saya juga tidak pasti sama ada mampu menamatkan saingan ini,” kata Woods yang beraksi di acara Pro-Am semalam.

“Salah satu sebab mengapa saya bermain sepanjang empat daripada lima minggu kebelakangan ini ialah untuk mendapatkan semula rentak. Sudah lama saya tidak bertanding secara kompetitif.

“Memang seronok dapat kembali bermain di Torrey, sama juga di tempat lain seperti Dubai kerana saya pernah menang di lapangan berkenaan sebelum ini.”

Selepas Torrey Pines, Woods dijangka menyertai kejohanan Klasik Dubai, Terbuka Genesis di Riviera sebelum pulang ke Florida untuk menyertai Klasik Honda di Palm Beach Gardens.

Woods juga mahu membiasakan dirinya dengan peralatan baru iaitu TaylorMade selepas Nike mengumumkan bahawa mereka tidak lagi meneruskan perniagaan dalam sukan golf. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:16 AM