RAMADAN Razali (depan) bersama dua pekerjanya menarik sampan berikutan banjir menyukarkan lori membawa masuk makanan ayam di Kampung Padang Serai Dalam, Pantai Remis. FOTO Muhaizan Yahya
RAMADAN Razali (depan) bersama dua pekerjanya menarik sampan berikutan banjir menyukarkan lori membawa masuk makanan ayam di Kampung Padang Serai Dalam, Pantai Remis. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara menurun kepada 565 orang daripada 176 keluarga sehingga 9.45 malam berbanding 655 orang daripada 206 keluarga, pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Bencana Negeri berkata, tiga daripada lima pusat pemindahan di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) sudah ditutup iaitu di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Kelubung, DOR Matang Gelugor dan Surau Kampung Jawa, Trong.

Katanya, hanya dua pusat pemindahan masih dibuka di daerah berkenaan iaitu di DOR Kampung Padang Serai Dalam menempatkan 38 orang daripada 9 keluarga dan DOR Kampung Matang Merbau menempatkan 24 orang daripada 7 keluarga.

Menurutnya, di daerah Manjung yang paling teruk terjejas pula, satu pusat pemindahan iaitu di Dewan JKKK Kampung Kota, Beruas sudah ditutup dan hanya tinggal dua pusat pemindahan masih dibuka iaitu di DOR Inderawati, Beruas menempatkan 179 orang daripada 67 keluarga dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai, Pantai Remis 203 orang daripada 57 keluarga.

"Di daerah Kinta, pusat pemindahan di DOR Kampung Piandang di Batu Gajah sudah ditutup namun terdapat pusat pemindahan baru dibuka di Dewan Sikh Tanjung Tualang menempatkan 76 orang daripada 22 keluarga manakala di Hilir Perak seramai 31 orang daripada 10 keluarga masih ditempatkan di SK Pengkalan Ara.

"Di daerah Perak Tengah pula empat orang daripada dua keluarga ditempatkan di Surau Kampung Talang, Belanja Kiri di Parit dan 10 orang daripada dua keluarga ditempatkan di Surau Nurul Janah, Parit 6", katanya.

Menurutnya, kini hanya tinggal lima daerah terjejas banjir selepas pusat pemindahan sementara di daerah Kuala Kangsar iaitu di Surau Karimiah, Kampung Talang Hulu ditutup selepas banjir surut sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 10:36 PM