GRO warga asing yang ditahan di pusat hiburan di Taman Medan Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak
GRO warga asing yang ditahan di pusat hiburan di Taman Medan Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Pasukan Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG), Bukit Aman berjaya menahan 53 wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam Ops Noda di dua pusat hiburan di sini awal pagi tadi.

Serbuan bermula 12.30 tengah malam itu dijalankan di Taman Medan Ipoh dan Pekan Baru, di sini dan berjaya menahan 53 GRO warga China dan Vietnam berusia awal 20-an hingga 30-an.

Ketua Operasi STAGG Superintendan Fazlisyam Abdul Majid berkata, dalam serbuan di Taman Medan Ipoh pihaknya berdepan masalah apabila kehadiran polis disedari dan kesemua wanita berkenaan bertindak bersembunyi dalam bilik rahsia bawah tanah.

Menurutnya, bantuan pasukan bomba terpaksa digunakan untuk memecahkan pintu bilik rahsia berkenaan yang terletak di lantai bilik pusat hiburan terbabit.

"Anggota Bomba mengambil masa hampir empat jam bagi memecah masuk ke dua bilik rahsia yang mempunyai pintu besi serta menggunakan sistem hidraulik.

"Sebaik berjaya dipecahkan terdapat 38 wanita warga asing dalam kedua-dua bilik berkenaan," katanya ketika ditemui dilokasi serbuan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pusat hiburan berkenaan sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan pernah diserbu sebelum ini namun gagal menemui GRO berkenaan.

"Polis percaya ini adalah pusat hiburan eksklusif yang hanya beroperasi mengikut tempahan pelanggan yang mana bilik yang ditempah dianggarkan bernilai RM3,000 hingga RM5,000 untuk satu bilik.

"Harga untuk khidmat GRO pula dianggarkan RM300 seorang dan jika pelanggan ingin membawa mereka perlu membayar lebih iaitu antara RM800-RM1,000 untuk tempoh 24 jam," katanya.

Fazlisyam berkata, serbuan di Pekan Baru pula berjaya menahan 15 wanita warga Vietnam dan semua 53 GRO berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi itu tamat kira-kira jam 7 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 7:29 AM