YAMAHA Ego Solariz yang bergaya dan sporty.
YAMAHA Ego Solariz yang bergaya dan sporty.

Pasaran motosikal skuter yang semakin berkembang menyebabkan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) melancarkan skuter terbarunya Ego Solariz.

Dijana enjin teknologi Bluecore bersesaran 125cc dianggap enjin termaju dan berkuasa dalam kelasnya, motosikal ini mampu menghasilkan kuasa 9.4hp pada 8,000rpm dan tork setinggi 9.6Nm pada 5,500rpm.

Pelbagai pembaharuan dilakukan bagi membezakan model ini dengan skuter lain antaranya lampu indikator ‘Eco’ pada paparan meter yang membolehkan penunggang mendapat kelajuan yang menjimatkan bahan api.

Dengan reka bentuk lebih besar daripada Ego Avantiz, Ego Solariz didatangkan dengan tangki bahan api 4.2 liter. Selain menggunakan transmisi automatik tali sawat V, model ini dilengkapi suspensi jenis teleskopik dan rim bersaiz 14 inci.

Jarak roda mencecah 1,260mm, panjang (1,870mm), tinggi (1,035mm), lebar (685mm) dan berat 94 kilogram (kg) memudahkan penunggang mengharungi kesesakan jalan raya termasuk kekal stabil ketika memecut di lebuh raya.

Faktor keselamatan turut diutamakan apabila padanan brek cakera pada roda hadapan dan jenis gelendong pada roda belakang.

Penggunaan lengan ayun monoshock juga memastikan tunggangan sentiasa stabil ketika mengambil selekoh.

Daripada segi praktikaliti, ada ruang simpanan seluas 10 liter di bawah tempat duduk selain ruang simpanan kecil pada bahagian hadapan manakala lampu hadapan dan belakang masih mengekalkan mentol biasa berbanding Avantiz yang menggunakan LED.

Yamaha Ego Solariz ditawarkan dalam empat warna iaitu biru, merah, coklat dan magenta dengan harga RM5,548 (tanpa insurans) bersama jaminan satu tahun atau 10,000 kilometer.

Dalam pada itu, bermula sekarang sehingga 31 Mac depan, pembeli awal Ego Solariz akan menerima baju eksklusif Yamaha sehingga kehabisan stok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:03 AM