MOBILITI urban kini tambah menarik melalui pengenalan model skuter terbaharu, Yamaha Ego Gear.
Ia cukup menyerlah dengan rekaan ranggi terutama lampu hadapan teknologi LED dan lampu pilot untuk pencahayaan baik pada malam atau siang.
Ia juga datang dengan panel meter analog yang mudah dilihat selain soket pengecas USB.
Sesuai sebagai pengangkutan harian, tempat meletak kakinya mesra kanak-kanak. Papan lantai anti-gelincir juga lebar.
Yamaha Ego Gear dikuasakan dengan enjin 125cc BueCore silinder tunggal, 4 lejang, SOHC.
Ia menjana 9.38 kuasa kuda (hp) pada 8,000rpm dan tork 9.6Nm pada 5,500rpm.
Teknologi Jenerator Motor Pintar (SMG) yang dihubungkan dengan indikasi mod-Eco membolehkan perjalanan dilalui dengan lebih senyap, lancar selain penuh prestasi.
Pada masa sama, ia menawarkan penggunaan bahan api efisien dengan fungsi 'start stop'.
Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Datuk Jim Khor berkata, Yamaha Ego Gear dilengkapi pelbagai ciri kemudahan untuk aktiviti gaya hidup seharian.
"Skuter ini sesuai untuk pelajar, suri rumah, golongan muda pencetus gaya serta penghantar makanan kerana selain pantas, ia sesuai dengan suasana bandar untuk kelancaran menempuh kesesakan jalan raya," katanya.
Yamaha Ego Gear ini beratnya 95 kilogram (kg). Ia dilengkapi tangki bahan api 4.2 liter selain brek cakera tunggal hadapan serta gelendong di belakang.
Ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Perak, Merah dan Biru.
Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM5,418 (atas jalan tanpa insurans).