KAWASAN dilanda banjir di Kota Marudu, semalam. FOTO ihsan APM
KAWASAN dilanda banjir di Kota Marudu, semalam. FOTO ihsan APM
Norasikin Daineh

Kota Marudu: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini meningkat kepada 2,880 orang setakat 7 pagi ini berbanding 2,776 mangsa, 10 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin berkata, jumlah itu membabitkan 910 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS di daerah itu.

"Semua mangsa masih berada di PPS berikutan banjir yang masih belum pulih.

"Bacaan paras air di Sungai Bongon dan Sungai Bandau meningkat kepada 7.50 meter dan 8.05 meter iaitu di paras bahaya berikutan air laut pasang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan, Dewan Saint Theresa, Dewan Kampung Lotong, Deean KRT Salimandut, Dewan Komuniti, Dewan Pusat Latihan Damai, Dewan Kampung Asin-Asing, Dewan Kampung Morion, Dewan Belia dan Sukan Tandek, Dewan Kampung Masolog dan Dewan Kampung Longob.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 10:34 AM