KEADAAN rumah di Jalan Pasir Mas ke Rantau Panjang masih digenangi air banjir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KEADAAN rumah di Jalan Pasir Mas ke Rantau Panjang masih digenangi air banjir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seramai 12,622 mangsa banjir masih berlindung di 62 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara berbanding 21,135 mangsa yang direkodkan pagi tadi.

Rekod Pusat Kawalan Bencana Banjir Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) setakat 4 petang tadi menunjukkan, semua mangsa itu membabitkan 3,847 keluarga yang menetap di 14 daerah dari lima negeri yang terjejas bencana itu.

"Jumlah mangsa di Terengganu menunjukkan penurunan iaitu 3,908 daripada 1,182 keluarga ditenpatkan di 30 PPS di enam daerah negeri itu berbanding 5,812 mangsa yang direkodkan pagi tadi.

"Trend penurunan ketara juga dapat dilihat di Sarawak apabila hanya 141 mangsa daripada 34 keluarga masih berlindung di sebuah PPS di Serian berbanding 1,481 mangsa pagi tadi," demikian menurut data dikongsikan agensi itu petang ini.

Nadma memaklumkan Kelantan turut merekodkan penurunan iaitu 7,148 mangsa daripada 2,391 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di Pasir Mas dan Tumpat berbanding 12,786 pagi tadi.

Selain itu, Perak hanya menempatkan 62 mangsa daripada 14 keluarga di sebuah PPS di Hilir Perak.

Sementara itu, Sabah pula menunjukkan trend peningkatan apabila 1,363 mangsa daripada 316 keluarga berlindung di 10 PPS negeri itu berbanding 967 mangsa yang direkodkan pagi.

Dalam pada itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di lima daerah di Sabah dalam tempoh 12 jam.

Kawasan berisiko dinyatakan ialah KampungOngkilian, Kampung Parong, Kampung Rakit, Kampung Popok Laut, Kampung Kampar, Kampung Damai, Kampung Kuranji, Kampung

Tarangkapas, Kampung Rasak Laut, Kampung Garuda, Kampung Longob, Kampung Masolog serta Kampung Rasak Darat, Kota Marudu.

Daerah Kudat pula membabitkan Kampung Andab Jawa, Kampung Korina, Kampung Naradang.

Kawasan Pitas yang terjejas ialah Kampung Pitas, Kampung Kusilad, Kampung Sinsilog, Kampung Kelumpang, Kampung Kalipuon, Kampung Komiri, Kampung Andap, Kampung

Barasan, Kampung Tambilidon, Kampung Sinasak, Kampung Rukom Laut, Kampung Kanibongan, Kampung Indah dan Kampung Boribi.

Turut terjejas ialah Kampung Gum-Gum Batu 16, Sandakan serta Kampung Sungai-Sungai, Paitan.

Maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan boleh layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook

@PublicInfoBanir dan Twitter@JPS_InfoBanjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 7:00 PM