Laporan mengenai banjir di Kota Marudu, Sabah
Laporan mengenai banjir di Kota Marudu, Sabah
Fardy Bungga


MANGSA banjir di Kota Marudu meningkat berikutan hujan berterusan tanpa henti sejak semalam apabila 1,425 mangsa membabitkan 510 keluarga dipindahkan setakat ini berbanding 118 mangsa, pagi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, setakat 5 petang hari ini, pihaknya memindahkan 372 lelaki dan 447 wanita dewasa, manakala 446 kanak-kanak, 64 bayi dan 86 warga emas dari 26 kampung.

Menurutnya, JBPM juga memindahkan 10 orang kurang upaya (OKU) selepas rumah mereka dinaiki air.

“Pusat pemindahan juga bertambah kepada 11 pusat iaitu Dewan Kampung Longob, Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, Dewan Masolog, Dewan Morion, Dewan Goshen, Dewan Damai, Dewan Asin-Asin, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, Dewan Komuniti, Dewan Batition dan Dewan St Theresa.

“Bagi paras air sungai pula, Sungai Bongon dan Sungai Bandau diletakkan dalam paras bahaya dengan masing-masing mencatatkan paras 8.5 meter serta 7.7 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dua lagi sungai iaitu Sungai Tandek masih normal, manakala Sungai Belianjung dikategorikan sebagai waspada.

“Dua jalan utama menghubungkan daerah ini iaitu Jalan Gana dan Jalan Kota Marudu-Marak Parak ditenggelami air dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, JBPM meneruskan pemantauan dan operasi berikutan amaran cuaca waspada dikeluarkan Jabatan Meteorolgi Malaysia.

Menurutnya, amaran hujan lebat dikeluarkan di beberapa kawasan di negeri ini, antaranya Tambunan, Ranau, Kota Belud, Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kudat dan Kota Marudu dikhuatiri menyebabkan banjir berterusan.

“Beberapa aset menyelamat seperti jentera, kenderaan pacuan empat roda dan bot aluminium diletakkan dalam keadaan bersiap siaga untuk membantu mangsa sekiranya paras air semakin meningkat,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Tujuh bayi antara mangsa banjir dipindahkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 8:14 PM