Yusmizal Dolah Aling


Sittwe: Semua program bantuan kemanusiaan di Myanmar perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa negara itu bagi mengelakkan masalah perlanggaran undang-undang.

Duta Besar Malaysia ke Myanmar Mohd Haniff Abd Rahman berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan apa juga perancangan yang diatur berjalan lancar serta tidak menjejaskan mana-mana pihak baik kerajaan mahu pun penganjur.

Katanya, sebagai contoh, misi Food Flotilla For Myanmar yang diadakan dengan anjuran bersama Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan beberapa pihak lain termasuk parti politik baru-baru ini perlu dijadikan contoh betapa kebenaran daripada pihak berkuasa sama ada pusat atau tempatan adalah mustahak.

“Alhamdulillah misi flotila selesai sepenuhnya dan kita ucapkan tahniah kepada semua kerana berjaya menyempurnakannya dengan baik sekali.

“Beberapa isu yang ditimbulkan seperti barangan tidak sampai dan sebagainya itu sebenarnya tidak betul dan semua masalah diselesaikan dengan cara baik. Jadi saya harap program bantuan selepas ini juga mendapat kelulusan rasmi dari negara penerima,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Haniff berkata, beliau dimaklumkan mengenai hasrat KP1M dan MAPIM untuk mengadakan program pada bulan puasa dan Aidilfitri di Sittwe, dan pihaknya tiada sebarang halangan berhubung perancangan itu.

Katanya, sebarang permohonan untuk kelulusan perlu diproses lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah pada saat akhir dan kedutaan sedia membantu penganjur.

Kelmarin, Ketua Penerangan KP1M, Datuk Razali Ramli dan Naib Presiden MAPIM, Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam temubual langsung menerusi Facebook Harian Metro dari Sittwe menyatakan komitmen untuk mengadakan majlis pada Ramadan dan Aidilfitri di daerah itu.

Ia sebagai susulan misi flotila yang selesai mengagihkan barangan ke daerah itu sejak beberapa hari lalu selepas semua bantuan diserahkan kepada kerajaan Myanmar di Terminal Antarabangsa Myanmar, Thilawa pada 9 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 7:17 AM